
FORUM 1 JIWA 1 IMPIAN PERKUKUH UKHUWAH ORANG MASJID TANAH
LENDU 19 Disember – Perkongsian ilmu menerusi Forum 1 Jiwa 1 Impian sempena Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita mengeratkan lagi ukhuwah dalam kalangan penduduk di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah.
Bagi Siti Nuraishah Sheikh Abu Bakar Alashiri perkongsian ilmu daripada dua panel jemputan iaitu Timbalan Mufti Negeri Pahang, Datuk Dr. Badli Shah Alauddin dan penceramah selebriti Ustaz Mohamed Hanafiah, menjentik hatinya untuk mensyukuri nikmat yang ada.
Katanya, selain menyentuh aspek kerohanian dan keagamaan perkongsian disampaikan turut menekankan mengenai tanggungjawab terhadap ibu bapa serta masyarakat tanpa mengira gender atau latar belakang yang amat kena dengan objektif penganjuran Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita.
“Karnival ini meraikan semua orang, paling menyentuh hati saya apabila aktiviti dianjurkan turut melibatkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Secara kebetulan kita baru sahaja meraikan sambutan Hari OKU. Selama dua hari padat dengan aktiviti untuk OKU termasuk sukan anak istimewa.
“Terima kasih Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh atas usaha ini. Selain itu saya juga tertarik dengan Dr. Badli Shah kerana susur galur keluarga beliau sebenarnya berasal dari Masjid Tanah. Ini menimbulkan perasaan bangga kerana ramai dalam kalangan orang Majid Tanah adalah individu yang hebat-hebat,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui di tapak Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita di Taman Rekreasi Bukit Beringin, di sini, malam tadi.
Majlis ilmu itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka ke-12 merangkap Adun Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Adun Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Yang turut hadir Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Adun Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Adun Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah.
Sementara itu Mawar Seroja Minhat pula berpendapat program kerohanian itu amat berguna sebagai panduan buat umat Islam dalam menghadapi cabaran dunia ketika ini.
“Pelbagai aktiviti disusun sepanjang empat hari ini, sambutan cukup luar biasa, banyak peluang terbuka termasuk menjana pendapatan buat peniaga kecil dan mencungkil bakat dalam pelbagai perkara seperti sukan serta kesenian.
“Tetapi tetapi bagi saya yang paling menarik perhatian adalah pemilihan tajuk program iaitu Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita. Ia amat dekat di hati semua orang Masjid Tanah, mengukuhkan lagi perpaduan sedia ada,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

