Sorting by

×

GAGASAN ‘MESRA’ TOK RAOP SANTUNI 450 MAHASISWA ANAK MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI BENDAHARA 11 Mac – Seramai 450 mahasiswa anak jati Melaka daripada 19 institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berbuka puasa di Seri Bendahara, di sini, hari ini.

Lebih istimewa, kesemua mereka turut menerima sumbangan duit raya membabitkan peruntukan berjumlah RM45,000 oleh Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri berkata, sumbangan itu merupakan tanda penghargaan dan kasih sayang Kerajaan Negeri kepada mahasiswa yang menjadi aset masa depan Melaka.

Menurut beliau, pemberian tersebut juga diharap dapat menambah kegembiraan mahasiswa dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Pemberian duit raya ini sebagai tanda kasih sayang kepada mahasiswa anak Melaka yang menuntut ilmu di dalam dan luar negeri.

“Kerajaan Negeri menyediakan duit raya kepada semua mahasiswa yang hadir dan diharapkan sumbangan ini dapat menambah sinar kegembiraan menjelang Aidilfitri yang berbaki lebih seminggu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Mahasiswa Anak Melaka Tahun 2026 di Kediaman Rasmi Ketua Menteri, Seri Bendahara, di sini, hari ini.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem serta barisan timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Hadir sama, Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China Kepada Ketua Menteri Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Abdul Aziz Baba serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih dapat berhimpun dan berbuka puasa bersama mahasiswa anak Melaka.

“Terima kasih kepada semua mahasiswa yang melapangkan masa untuk hadir berbuka bersama yang mana kita berkumpul dalam satu lingkungan keluarga besar Melaka pada 21 Ramadan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

248
Kongsi :
Previous post LEBIH 5,000 PARKIR PERCUMA SELAMA SEMINGGU DI ALOR GAJAH
Next post PERUNTUKAN BANTUAN PENDIDIKAN MAHASISWA ANAK MELAKA MENINGKAT RM240,000 – KM