
GALAK WANITA LAKUKAN SENDIRI PEMERIKSAAN SETIAP BULAN
DURIAN TUNGGAL 29 Oktober – Kaum hawa dinasihatkan supaya lebih peka terhadap kesihatan diri dengan melakukan sendiri pemeriksaan secara berkala sebagai langkah awal mengesan kanser payudara.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pemeriksaan awal amat penting berikutan rekod menunjukkan kanser payudara adalah masalah kesihatan paling kerap menyerang wanita di negara ini.
“Apabila dikesan awal, peluang untuk sembuh sangat tinggi. Sebab itu semua wanita perlu mengambil berat tentang soal kesihatan, jangan takut menjalani pemeriksaan klinikal atau mamogram.
“Segera dapatkan rawatan susulan jika ada tanda-tanda yang mencurigakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Negeri Melaka 2025 bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Durian Tunggal di Kompleks Japerun Durian Tunggal, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Siti Faizah Abdul Azis.
Hadir sama Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil dan Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Ruzita Mustaffa.
Menurutnya, Kerajaan Negeri juga komited memperkasa agenda kesihatan wanita melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif.
“Kita mahu menjadikan Melaka sebagai negeri yang sihat, prihatin dan inklusif, berikutan itu setiap wanita mendapat akses maklumat, rawatan dan sokongan sewajarnya berhubung aspek kesihatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


