Sorting by

×

GALERI JUALAN GTP MUDAHKAN URUSAN PELABUR

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 20 Januari – Galeri Jualan German Technology Park (GTP) akan dilancarkan pada 6 Februari ini oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bagi memudahkan urusan pelabur menilai dan membeli tapak di taman perindustrian tersebut.

Pengurus Perancangan Perindustrian Perbadanan Melaka (MCORP) Hairulzamani Othman berkata, galeri ini dibangunkan hasil kerjasama dengan rakan strategik MCORP iaitu Teladan Setia Sdn Bhd.

“Inisiatif ini adalah langkah proaktif bagi menjimatkan masa pelabur kerana segala urusan melibatkan jualan boleh dilaksanakan secara terus di galeri tanpa perlu ke pejabat MCORP.

“Galeri jualan ini merupakan sebahagian daripada pembangunan premis ruang niaga oleh Teladan Setia yang mana satu premis dijadikan contoh, satu lagi berfungsi sebagai galeri jualan bagi membolehkan pelabur melihat pembangunan kawasan industri dengan lebih dekat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Whatsapp image 2026 01 19 at 5.14.27 pm
HAIRULZAMANI.

Katanya, galeri berkenaan sudah hampir siap sepenuhnya dan kini hanya menunggu kerja-kerja sentuhan akhir serta pemasangan maklumat tambahan sebelum pelancaran rasmi.

“Pegawai MCORP dan Teladan Setia akan ditempatkan di galeri ini bagi membantu melancarkan urusan jualan. Saya yakin galeri ini akan menjadi platform strategik untuk menarik lebih ramai pelabur, sekali gus mempercepatkan pembangunan industri di Melaka.

“Dengan galeri ini, pelabur tempatan dan antarabangsa khususnya dari Jerman dapat membuat keputusan pelaburan dengan lebih efisien, sambil melihat sendiri kemudahan dan potensi yang ditawarkan oleh GTP,” katanya.

Selain itu, Hairulzamani berkata kerja-kerja tapak dan tanah di kawasan perindustrian GTP kini telah mencapai 50 peratus progres, menunjukkan pembangunan kawasan itu berjalan lancar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

422
Kongsi :
Previous post AYAM PERCUMA, REZEKI PAGI WARGA DURIAN TUNGGAL
Next post JPN MELAKA TERIMA 71 PERMOHONAN TUKAR KETURUNAN BABA NYONYA