Sorting by

×

GELANGGANG SUKAN JADI MEDIUM PERKUKUH PERPADUAN 

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

LENDU 5 Disember – Gelanggang sukan menjadi medium untuk menyuburkan lagi perpaduan dan menyemai semangat bersatu hati dalam kalangan komuniti di Parlimen Masjid Tanah.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, berikutan itu penganjuran Kejohanan Sukan Antara Jabatan & Sukan Veteren Masjid Tanah Bersempena Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita amat bertepatan bagi mencapai hasrat yang dimaksudkan.

Katanya, lebih bermakna apabila penganjuran itu disokong 450 orang penjawat awam mewakili 16 kontinjen agensi, jabatan dan institusi pengajian tinggi (IPT) serta lebih 450 orang veteran di Parlimen Masjid Tanah.

“Acara ini bukan sekadar pertandingan, tetapi turut menjadi wadah menyemai gaya hidup aktif, di samping mengukuhkan ukhuwah dan menyatukan keluarga besar perkhidmatan awam di daerah ini.

“Menang atau kalah sememangnya sudah menjadi adat pertandingan, namun apa yang lebih utama adalah ketabahan, kesungguhan dan semangat sepasukan yang lahir daripada program ini,” kata Ketua Menteri.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Sukan Antara Jabatan & Sukan Veteren Masjid Tanah Bersempena Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, di sini, petang tadi.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Ketua Menteri Melaka ke-12 yang juga Adun Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer yang juga Adun Ayer Limau.

Turut hadir Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah, Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta kenamaan lain.

Ab Rauf berkata, Kejohanan Sukan Antara Jabatan dan Sukan Veteran ini merupakan penganjuran julung kali diadakan di Parlimen Masjid Tanah dan menjadi antara acara pembuka tirai Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita.

“Sebanyak 10 acara sukan dipertandingkan, melibatkan pelbagai kategori. Untuk itu, saya mengucapkan
selamat maju jaya dan selamat berjuang kepada semua kontinjen yang bertanding. Bertandinglah dengan semangat kesukanan yang tinggi.

“Pada hemat saya, program seumpama ini wajar diteruskan sebagai acara tahunan, demi menyemai semangat muhibah, memperkasa jaringan kerjasama serta mengangkat martabat dan profesionalisme penjawat awam di Parlimen Masjid Tanah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

288
Kongsi :
Previous post 95 GENERASI KEDUA FELDA KINI MILIKI TANAH SENDIRI, TERIMA KELULUSAN PTK