Sorting by

×

GENDANG SUDAH DIPALU, WRUR DUYONG DIBUKA TIRAI SECARA RASMI

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

DUYONG 13 Julai – Paluan gendang sebanyak enam kali menjadi simbolik kepada pembukaan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong secara rasminya, hari ini.

Gimik perasmian itu telah disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman bertempat di Dewan Taman Seri Duyong 2.

Turut bersama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin bersama Timbalannya, Leng Chau Yen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Abdul Razak ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian tersebut memaklumkan, Duyong merupakan DUN keenam dalam Negeri Melaka bagi siri jelajah WRUR yang diilhamkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebagai komitmen mensejahterakan rakyat negeri ini.

Katanya, Duyong juga merupakan DUN pertama dalam Parlimen Kota Melaka bagi siri WRUR, di mana, selama dua minggu pelbagai agensi, jabatan dan wakil-wakil rakyat akan berkampung di situ bagi menyelesaikan segala aduan dan menganjurkan program bersama masyarakat setempat.

“Menerusi program ini, rakyat tidak perlu datang kepada kerajaan, sebaliknya kerajaan datang kepada rakyat untuk kenal pasti segala permasalahan dan isu berbangkit.

“Kita bukan hanya datang untuk mendengar aduan atau masalah, tetapi WRUR ini adalah komitmen untuk menyelesaikan setiap aduan dan masalah oleh komuniti.

“Alhamdulillah walaupun baru pembukaan, kita dapat lihat di Duyong ini sambutan masyarakat amat meriah, sekali gus ia menunjukkan usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri ini mendapat sokongan rakyat,” katanya.

Terdahulu, bersempena pembukaan WRUR Duyong pelbagai acara dan aktiviti telah diadakan antaranya Lantera Mahabbah DUYONGkita, reruai pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, sukan rakyat, saringan kesihatan percuma, Jualan RAHMAH, karnival memancing dan gimik penanaman pokok.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

458
Kongsi :
Previous post ECO CRUISE TASIK CHINCHIN TAWAR PELAYARAN MENDAMAIKAN
Next post PESISIR PANTAI MENGHADAP SELAT MELAKA JADI CADANGAN LOKASI KEMUNCAK WTD 2025