
GENG RXZ DATANG MELAKA JANGAN BUAT DUA PERKARA INI
AYER KEROH 13 Disember – Polis Melaka mengingatkan peserta-peserta RXZ Members Ride Edition 3.0 di negeri ini agar tidak melakukan dua kesalahan yang boleh menyebabkan mereka diambil tindakan.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, dua kesalahan itu adalah berlumba haram dan melakukan aksi berbahaya di atas jalan raya.
Menurut beliau, sekiranya didapati ada di antara peserta melakukan kesalahan itu tindakan boleh diambil.
“Pihak polis sentiasa ada toleransi dan budi bicara terutama untuk perhimpunan seperti ini. Tidak salah untuk bergembira, tapi kita tidak mahu ada yang pulang berduka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Legasi 04 RXZ X 125 ZR Melaka Attack 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Dataran MITC di sini, malam tadi.
Menurut Dzulkhairi, sepanjang dua hari acara itu berlangsung, seramai 150 anggota ditugaskan bagi menjaga keamanan peserta dan pengguna jalan raya, selain trafik dan lalu lintas bermula dari sempadan Melaka hingga ke Melaka Tengah.
“Kita sudah bersedia sejak dua minggu lalu memandangkan kita menjangka kehadiran peserta 100,000 hingga 150,000 orang dan kita mahu pastikan aspek disiplin dan keselamatan semua terpelihara,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, setakat ini terdapat satu kes kemalangan maut membabitkan peserta RXZ, namun ia berlaku di Negeri Sembilan, iaitu berhampiran sempadan Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


