Sorting by

×

GERAKAN BELIA 4B MALAYSIA DESAK TANGGUH PELAKSANAAN HAD UMUR BELIA MULAI 1 JANUARI 2026

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 10 Julai – Gerakan Belia 4B Malaysia mendesak pelaksanaan had umur belia kepada 30 tahun di bawah Akta 668 yang dijadualkan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026, ditangguhkan serta-merta.

Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, meskipun dasar ini bertujuan menumpukan sumber dana dan program Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada golongan belia berumur 15 hingga 30 tahun, pelaksanaannya terhadap struktur kepimpinan pertubuhan belia secara menyeluruh adalah tidak wajar selain bakal membawa kesan melemahkan.

Mohd Ridhwan berkata, ia juga mengganggu kesinambungan organisasi, menjejaskan kecekapan tadbir urus serta menyukarkan pelaksanaan program dan pembangunan kepimpinan peringkat akar umbi.

“Lebih membimbangkan, dasar ini dilaksanakan serentak dengan syarat had tempoh jawatan pengerusi semua peringkat, yakni cawangan, kawasan, negeri dan kebangsaan kepada maksimum empat tahun sahaja. Gabungan dua had ini secara langsung menggugat kestabilan pertubuhan dan menghalang proses pematangan kepimpinan dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia.

“Pelaksanaan serentak had umur 30 tahun dan tempoh jawatan Pengerusi empat tahun bakal melemahkan struktur NGO belia secara drastik. Ini bukan isu umur semata-mata, tetapi isu kelangsungan organisasi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, ketika ini lebih 60 peratus pemimpin NGO belia aktif berumur 31–40 tahun dan menyingkirkan mereka secara automatik akan mewujudkan kekosongan kepimpinan yang bukan mudah untuk diganti.

“Tanpa pengalaman dan kestabilan, pertubuhan belia akan terjejas, justeru kami gesa dasar ini ditangguhkan demi masa depan belia negara,” katanya.

“Kami mengambil maklum bahawa Exco-exco Kerajaan Negeri memegang portfolio belia juga menyatakan ketidaksetujuan terhadap pelaksanaan dasar ini yang jelas mencerminkan keresahan di peringkat pentadbiran negeri sewaktu Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Kebangsaan di International Youth Centre (IYC), Cheras, hari ini,” katanya.

Tambahnya lagi, reformasi belia yang tidak berpijak pada realiti hanya akan meruntuhkan apa yang dibina puluhan tahun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

236
Kongsi :
Previous post SOKONG HAD UMUR BELIA 30 TAHUN, TAPI MOHON PERTIMBANGKAN PANDANGAN RAMAI
Next post KERJASAMA ERAT KERAJAAN NEGERI, MOTAC LANCARKAN PERSIAPAN WTD, WTC 2025