
‘GREEN LAB’ BAKAL DISEDIAKAN DI SEKOLAH RENDAH DI ALOR GAJAH
Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata menerusi makmal berkenaan, murid akan diberikan pendedahan mengenai perisian dan perkakasan teknologi, sekali gus membantu memupuk kreativiti dan kesedaran berkaitan keselamatan digital.
“Menerusi ‘green lab’ itu mereka boleh menghasilkan video kreatif, belajar menjadi influencer (pempengaruh) dan yang paling penting mereka faham tentang dunia digital dan bagaimana mengaplikasikannya dalam kehidupan.
“Pengetahuan kepada dunia digital juga boleh mengekang mereka daripada terlibat dengan isu scam dan seumpamanya,” katanya pada Program Jom Shopping Barangan Sekolah 2026 di sebuah pasar raya, di Pulau Sebang, di sini hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak 500 murid dan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan menerima baucar bernilai RM100 setiap seorang bagi membeli kelengkapan persekolahan di pasar raya berkenaan.
Sementara itu, mengulas mengenai insiden helikopter yang melakukan pendaratan cemas semasa sambutan ambang tahun baharu di Pantai Klebang, Rabu lepas, Adly berkata jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang melakukan siasatan terperinci.
Beliau berkata hasil siasatan itu kelak diharap dapat membantu mengelakkan kemalangan sama berlaku pada masa hadapan.
Pada Rabu lepas, sebuah helikopter Super Lynx milik TLDM melakukan pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang ketika pesawat sedang melaksanakan penerbangan demonstrasi bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun ke-60 Grup Gerak Khas (GGK), Tentera Darat Malaysia (TDM).
Dalam kejadian pada 10.50 malam itu, empat kru udara berada di dalam pesawat dan kesemua mereka berjaya diselamatkan serta dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.
Beliau berkata bangkai helikopter berkenaan berjaya dikeluarkan dari lokasi kejadian pada Khamis lepas dan telah dihantar ke Pangkalan TLDM Lumut untuk penilaian teknikal. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


