Sorting by

×

GURU KAFA JAIM JOHAN QARIAH MTHQ 1447H/2026

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BUKIT PALAH 26 Januari – Guru muda mengajar Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Nur Husna Hanani Mohd Zaid, 27, dinobatkan sebagai johan qariah pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Peringkat Negeri Melaka Tahun 1447H/2026.

Anak jati Melaka yang berasal dari Sungai Udang itu membawa pulang wang tunai RM8,000, sijil, hadiah iringan beserta pakej umrah yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Auditorium Al-Azim, di sini,  pada Sabtu.

Ibu anak dua itu berjaya menambat hati barisan hakim menerusi bacaan Al-Quran yang mantap dari segi taranum, tajwid dan fasoha dengan markah 87 peratus sekali gus melayakkannya mewakili Melaka ke Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Terengganu April depan.

Beliau yang kini bertugas sebagai guru KAFA JAIM di Bukit Rambai menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil sokongan berterusan keluarga, guru-guru serta doa ibu bapa selepas tiga kali memasuki pertandingan terbabit.

“Alhamdulillah atas kemenangan ini, sebenanrnya saya tidak jangkakan menjadi johan, kerana banyak lagi perkara saya perlu pelajari dan sedari kekurangan diri.

“Namun pada saya bidang tilawah bukan sekadar pertandingan, sebaliknya satu usaha untuk menyebarkan keindahan dan penghayatan Al-Quran dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Berkongsi persiapan mewakili Melaka ke peringkat kebangsaan, Nur Husna Hanani berkata beliau akan lebih kerap berlatih dan berguru dari segi lagu taranumnya.

Jelasnya, beliau turut berkongsi kejayaan untuk sentiasa semak tajwid dan sebutan setiap kali membaca Al-Quran.

“Sentiasa saya ingatkan anak-anak murid di sekolah untuk belajar mengenai tajwid dahulu sebelum ke taranum.

“Saya berharap kejayaan ini dapat menjadi inspirasi kepada murid-murid KAFA dan golongan muda supaya terus mendekati Al-Quran serta menjadikannya panduan hidup,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

571
Kongsi :
Previous post MELAKA SASAR 1,000 WANITA JALANI SARINGAN KANSER SERVIKS
Next post SUMBANGAN BAKUL RAHMAH BAWA SINAR KEBAHAGIAAN BUAT IBU TUNGGAL, SURI RUMAH