
H.E.R.O JADI TARIKAN MAJIKAN: GRADUAN UNIMEL TERUS JADI PILIHAN INDUSTRI
AYER KEROH 1 Disember – Graduan Universiti Islam Melaka (UNIMEL) terus mencipta keyakinan dalam kalangan majikan apabila terbukti memenuhi kehendak pasaran kerja semasa dan tuntutan industri.
Naib Canselor UNIMEL Prof. Datuk Ts. Dr. DHc. Abdul Khalil Shawkataly berkata langkah itu menjadi bukti atas pengiktirafan Anugerah Talentbank Malaysia Tahun 2025 yang diraih UNIMEL.
Katanya, graduan yang dilahirkan UNIMEL bukan sahaja kompeten, berdaya saing dan berwibawa malah memiliki ciri profesional dan etika kerja yang tinggi.
“UNIMEL membentuk pelajar holistik pemikiran dan tindakan, berjiwa entrepreneur yang kreatif, berdaya cipta dan berpandangan hadapan.
“UNIMEL komited melahirkan pelajar berjiwa H.E.R.O ( Holistic, Entrepreneurial, Responsible dan Outstanding) menjadi asas melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik malah mempunyai jati diri, kepimpinan dan nilai profesional bertaraf antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Istiadat Konvokesyen UNIMEL Kali Ke-27 Sidang Pertama di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.
Istiadat itu telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri merangkap Canselor UNIMEL Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang juga Pro-Canselor UNIMEL; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Abdul Khalil berkata istiadat kali ini turut mencatat sejarah apabila UNIMEL meraikan jumlah graduan PhD tertinggi, dengan peningkatan hampir sembilan kali ganda berbanding tahun 2024.
Tambahnya, seiring perkembangan semasa, UNIMEL turut memberi tumpuan kepada pelaburan digital termasuk penaiktarafan sistem pengurusan universiti, platform pembelajaran dan perkhidmatan keseluruhan ke arah kampus teknologi pintar.
“Langkah itu diyakini mampu memperkukuhkan prestasi operasi institusi selain memberi pengalaman pembelajaran lebih efektif dan moden kepada pelajar.
“Menerusi visi jelas, ekosistem akademik kukuh serta komitmen tinggi seluruh warga universiti, UNIMEL kini berada di landasan tepat menuju transformasi sebagai universiti rujukan serantau dan global,” katanya.
Terdahulu, istiadat tersebut turut memasyhurkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebagai Pro-Canselor UNIMEL.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

