
HADIAH RM100,000 MENANTI PENGUNJUNG BERTUAH MELAKA RIVER CRUISE TAHUN INI
BANDA HILIR 8 Februari – Hampir 100 hadiah menarik termasuk sebuah kereta Perodua Bezza ditawarkan kepada pengunjung bertuah yang menaiki Melaka River Cruise.
Tawaran itu menanti pengunjung yang membeli tiket berharga RM70 dan keatas sepanjang tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris berkata, ganjaran istimewa itu diberikan menerusi Program Cabutan Bertuah Melaka River Cruise yang diteruskan lagi pada tahun ini.
Beliau berkata, program cabutan bertuah itu adalah antara usaha dilakukan untuk menghargai sokongan berterusan pengunjung terhadap produk-produk di bawah PPSPM khususnya Melaka River Cruise yang sememangnya menjadi ikon pelancongan Melaka.
“Menerusi program ini kami menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM100,000 termasuk hadiah utama sebuah kereta Perodua Bezza selain skuter, barangan elektrik termasuk televisyen serta pakej pelancongan.
“Selari dengan pengumuman dibuat oleh Ketua Menteri, diharap inisiatif yang diteruskan pada tahun ini akan menarik lebih ramai pengunjung termasuk pelancong ke Melaka sekali gus merebut peluang merasai pengalaman menikmati pelayaran menelusuri Sungai Melaka dengan Melaka River Cruise,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Melaka Bila Larut Malam Edisi Februari 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di perkarangan Stadthuys, di sini, semalam.
Majlis itu turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong serta Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Leng Chau Yen; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.
Menurut Shaharul Azuar, tawaran tersebut juga dibuat bagi menyemarakkan lagi sambutan Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menyasarkan peningkatan jumlah pengunjung termasuk pelancong ke Melaka.
“Inisiatif ini juga bertujuan meningkatkan promosi pelancongan dan berharap lebih ramai pelancong sama ada tempatan atau antarabangsa memilih Melaka sebagai destinasi percutian mereka,” katanya.
Terdahulu, pada majlis sama turut berlangsung penyampaian hadiah utama Cabutan Bertuah Cruise Madani Melaka River Cruise 2025 iaitu berupa sebuah kereta Proton Saga MC3 yang dimenangi penuntut institusi pengajian tinggi berasal dari Perak, Amir Hamzah Ahmad Jais, 24.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

