Sorting by

×

HADIAH UNTUK ORANG MASJID TANAH 19 MAC INI

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

TANJUNG BIDARA 15 Mac – Sempena tiga tahun mentadbir negeri, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bakal memberikan hadiah istimewa kepada warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dan Parlimen Masjid Tanah.

Menurut beliau, hadiah itu berupa jualan ayam segar pada harga RM5 seekor yang akan diadakan pada Khamis, 19 Mac ini, sempena menjelang Aidilfitri.

Jelas beliau, di peringkat DUN Tanjung Bidara, sebanyak 8,000 ekor ayam akan dijual pada harga luar biasa murah itu bertempat di Japerun Tanjung Bidara bermula jam 6.30 pagi sehingga selesai.

“Selain Tanjung Bidara semua DUN di bawah Parlimen Masjid Tanah iaitu Lendu, Ayer Limau, Taboh Naning dan Kuala Linggi juga menyediakan 5,000 ekor ayam setiap DUN yang juga dijual pada harga RM5 seekor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Kasih Ramadan Peringkat DUN Tanjung Bidara di Masjid As-Salam Kampung Ayer Hitam Darat, di sini, hari ini.

Menurut beliau, program tersebut merupakan antara pengisian penghujung Ramadan yang diatur bagi mengimarahkan lagi bulan mulia dengan program keagamaan dan kemasyarakatan.

“Menerusi program ini saya bersama masyarakat dapat bergotong-royong memasak juadah berbuka puasa iaitu gulai kawah, dodol dan bubur pulut hitam untuk diagih kepada warga Tanjung Bidara secara percuma.

“Selain itu, program ini turut diserikan dengan ceramah nuzul quran yang disampaikan Ustaz Kazim Elias, program khatam al-Quran perdana dan penyampaian sumbangan kepada golongan memerlukan,” katanya.

/END

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

348
Kongsi :
Previous post ‘HARI INI SAYA BUKAN KETUA MENTERI, SAYA DAK RAOP ANAK JATI MASJID TANAH’
Next post KETUA MENTERI SANTUNI 100 ASNAF DI KAMPUNG BALIK BATU