Sorting by

×

HAIWAN TERNAKAN BERKELIARAN, MPJ AMBIL TINDAKAN TEGAS

Masa Membaca:57 Saat

JASIN 1 Oktober – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) giat melaksanakan operasi menangani masalah haiwan ternakan berkeliaran yang mengganggu penduduk setempat khususnya di kawasan taman perumahan.

Setiausaha MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, operasi terbaharu yang dijalankan pada 26 September lalu tertumpu di Taman Pulai Indah, Serkam, susulan beberapa aduan awam yang diterima.

Menurutnya, ternakan berkeliaran menimbulkan pelbagai masalah antaranya halangan lalu lintas dan keselamatan, kerosakan tanaman penduduk serta isu kebersihan akibat najis yang bertaburan di atas jalan.

“Sejak Januari hingga kini, MPJ telah menerima tiga aduan berhubung masalah sama di kawasan tersebut.

“Dalam operasi baru-baru ini, seekor lembu berjaya ditangkap hasil aduan orang awam kepada pihak MPJ,ā€ katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tegas Muhammad Zahiruddin, pemilik ternakan perlu bertanggungjawab mengawal haiwan masing-masing dan tidak membiarkannya bebas di kawasan awam.

“Sekiranya haiwan ternakan ditemui berkeliaran, tindakan sitaan akan diambil. Jika tidak dituntut dalam tempoh ditetapkan, MPJ akan melelong haiwan tersebut mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Sejak Januari 2025 sehingga kini sebanyak enam ekor lembu dan tiga ekor kambing telah dilelong kerana tidak dituntut oleh mana-mana pemilik selepas operasi tangkapan dijalankan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

421
Kongsi :
Previous post MAIM BANTU ASNAF BINA KELUARGA BAHAGIA
Next post KERAJAAN NEGERI KOMITED ANGKAT SEJARAH MELAKA KE PENTAS DUNIA