Sorting by

×

HAJI KIDS DIANGKAT JADI ACARA TAHUNAN MELAKA – KM

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

DUYONG 17 Mei – Usaha menerapkan ilmu agama dalam kalangan generasi muda diteruskan dengan mengangkat program Haji Kids Kembara ke Baitullah sebagai acara tahunan Kerajaan Negeri.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang menyifatkan program tersebut sebagai platform terbaik membentuk kanak-kanak mencintai ilmu, berakhlak mulia dan menanam cita-cita menjadi tetamu Allah SWT suatu hari nanti.

“Saya menyambut baik program ini dan berharap agar ia dijadikan acara tahunan dalam kalendar Islam, pelancongan dan pendidikan Negeri Melaka, dengan kerjasama erat antara agensi kerajaan, pendidikan dan institusi keagamaan.

“Kerajaan Negeri komited mendukung program-program membentuk jati diri, nilai Islam dan kecintaan kepada agama dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Haji Kids Kembara Ke Baitullah Simulasi Haji Untuk Kanak-Kanak Peringkat Negeri Melaka 2025 di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Nasrul Ahmad; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Warnakala Studios Sdn Bhd Hairul Faizal Izwan Ahmad.

Sementara itu, Ab Rauf turut menyeru ibu bapa agar menjadi pendidik pertama kepada anak-anak serta menjadikan rumah sebagai madrasah utama dalam membina akhlak dan kefahaman agama.

“Saya yakin, pengalaman seperti ini akan membentuk generasi pemimpin masa depan yang berilmu, berakhlak dan mampu membawa sinar Islam ke seluruh dunia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

587
Kongsi :
Previous post MELAKA JADI LOKASI PENGANJURAN HARI TVET TERBESAR NEGARA – TPM
Next post JAGA SOLAT, AMAL SURAH YASIN RAHSIA PELAJAR TAHFIZ RAIH 11A SPM