
HAMPIR 255,000 MANUSKRIP BERKAITAN MELAYU, MELAKA TERSIMPAN DI BELANDA
KUALA LUMPUR 30 Jun – Dianggarkan hampir 255,000 manuskrip dan artikel berkaitan Melayu dan Melaka sejak ratusan tahun dahulu masih disimpan di Belanda akan dibawa pulang ke Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, khazanah berharga itu tersimpan di Universiti Leiden, Belanda, di mana jika disusun kesemua manuskrip tersebut, panjangnya dianggarkan sejauh 19 kilometer (km).
Jelas Ab Rauf, Kerajaan Negeri telah berhubung dengan Duta Belanda untuk membawa pulang khazanah sejarah itu dan Kerajaan Belanda telah bersetuju untuk menyerahkan seberapa banyak artikel tersebut yang telah didigitalkan.
“Walaupun usaha ini melibatkan kewangan yang besar, namun Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan bagi menjalankan kajian awal dan pada masa sama kita akan memohon peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan supaya artifak yang mempunyai nilai sejarah tinggi dapat kita bawa pulang bagi membetulkan sejarah yang telah dipesongkan penjajah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bersiaran di Malaysia Hari Ini bagi mempromosikan Pra-Peluncuran WTD 2025 dan Rentak Bertandak Antarabangsa 2025, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Nasrul Ahmad.
Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri tidak menetapkan sebarang sasaran tarikh dalam kajian dan penyelidikan sejarah yang dilakukan di luar negara, sebaliknya ia akan diadakan secara berterusan.
Jelas beliau, ia memandangkan sesuatu penyelidikan itu ibarat mencari rahsia yang tersembunyi dan ia memerlukan masa yang panjang untuk mendapatkan setiap penemuan bersejarah mengenai kehebatan Melayu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.