Sorting by

×

HARI KELUARGA KOTA MELAKA BAKAL JADI ACARA TAHUNAN

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

TELOK MAS 30 Jun – Hari Keluarga Kota Melaka bakal dijadikan sebagai acara tahunan selepas penganjuran julung kalinya mendapat sambutan hebat.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pelbagai pihak, bukan sahaja ahli jawatankuasa penganjur tetapi agensi kerajaan dan swasta termasuk komuniti setempat berganding bahu bagi merealisasikan sambutan yang dianjurkan.

Katanya, kejayaan penganjuran sambutan itu membuktikan betapa teguh dan utuhnya semangat kekitaan serta perpaduan rakyat di dalam Parlimen Kota Melaka justeru itu ia perlu diteruskan pada tahun-tahun mendatang.

“Sebagai Ketua Bahagian di dalam Parlimen Kota Melaka ini, saya ingin menjadikan sambutan hari keluarga ini sebagai program tahunan.

“Cadangan saya untuk penganjuran akan datang ia akan diadakan secara bergilir-gilir di kawasan dewan undangan negeri (DUN) dalam Parlimen Kota Melaka ini.

“Sambutan ini merupakan platform terbaik untuk penduduk setempat mengeratkan silaturahim sekali gus dapat memperkukuhkan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Hari Keluarga Kota Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di padang bola sepak Taman Seri Telok Mas, di sini, semalam.

Img 1178
ABDUL Razak ketika berucap pada majlis berkenaan. Foto Pejabat Ketua Menteri

Hadir sama, Adun Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Adun Kesidang, Allex Seah Shoo Chin; Adun Kota Laksamana, Low Chee Leong dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Menurut Abdul Razak, sebanyak 18 acara termasuk sukan rakyat dipertandingkan yang membabitkan penyertaan pelbagai peringkat umur.

“Sebelum berlangsungnya Hari Keluarga Kota Melaka ini, telah diadakan Program Merakyatkan Seni Budaya Ngeteh @Telok Mas dan dianggarkan kehadiran untuk kedua-dua acara ini kira-kira 5,000 orang.

“Penganjuran Hari Keluarga Kota Melaka ini juga adalah ‘soft launching’ untuk program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bagi Parlimen Kota Melaka memandangkan tidak lama lagi dijadual akan bermulanya WRUR DUN Duyong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1121
Kongsi :
Previous post TUAH NURUL AINI BAWA PULANG ‘ADIK SADO’
Next post MELAKA BAWAKAN ‘PENTAS ATAS LAUT’ PADA KEMUNCAK WTD 2025