Sorting by

×

HARI KELUARGA KOTA MELAKA KETENGAH ELEMEN SEJARAH, WARISAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

TELOK MAS 29 Jun – Hari Keluarga Kota Melaka mengetengahkan elemen sejarah dan warisan Melaka apabila watak lima pahlawan Melaka diangkat mewakili wakil setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, meskipun penganjuran hari keluarga sekadar acara santai namun inisiatif itu secara tidak langsung mengangkat nilai perpaduan kaum dan budaya yang mencerminkan keindahan wajah Melaka sebenar.

“Saya amat tertarik dengan kreativiti penganjuran apabila mengetengahkan elemen sejarah dan warisan Melaka dengan mengangkat watak lima pahlawan Melayu sebagai wakil DUN.

“Yang mana DUN Telok Mas memegang watak sebagai Hang Jebat, manakala Hang Tuah pula mewakili DUN Duyong, DUN Kesidang pula sebagai Hang Lekiu dan Hang Kasturi mewakili DUN Banda Hilir serta DUN Kota Laksamana pula sebagai Hang Lekir.

“Pendekatan ini bukan sekadar simbolik malah memberi kesedaran kepada generasi muda agar tidak melupakan akar bangsa dan warisan sejarah yang membina jati diri anak Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Keluarga Kota Melaka di Padang Bola Sepak Taman Seri Telok Mas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Adun Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Adun Kesidang, Allex Seah Shoo Chin; Adun Kota Laksamana, Low Chee Leong; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.

Whatsapp image 2025 06 29 at 13.51.42
ANTARA gelagat warga Kota Melaka. Foto Pejabat Ketua Menteri

Menurut Ab Rauf, Hari Keluarga Parlimen Kota Melaka merupakan satu menifestasi perpaduan, kasih sayang dan semangat muhibah cukup luar biasa.

“Kerajaan Negeri Melaka menyambut baik program seperti ini kerana ia adalah cerminan kepada kekuatan rakyat untuk sentiasa bersatu hati dan hidup dalam harmoni.

“Besar harapan saya agar model Hari Keluarga Kota Melaka ini dapat diperluas ke seluruh negeri sebagai lambang jalinan erat antara pemimpin dan rakyat yang tidak boleh dipisahkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

601
Kongsi :
Previous post JANGAN GUNA ALASAN SST NAIKKAN HARGA DI MELAKA
Next post FELDA TUN GHAFAR HUTAN PERCHA JOHAN LANDSKAP TERBAIK NEGARA