
‘HEALING ALA BANGSAWAN’, PENGUNJUNG PUAS HATI FASILITI SELESA
BANDARAYA MELAKA 2 November – Panggung Bangsawan Melaka terus mencuri perhatian apabila rata-rata pengunjung menyifatkan fasiliti yang disediakan amat selesa dan sesuai dijadikan lokasi ‘healing’ sambil berhibur bersama keluarga.
Menurut pengunjung dari Bachang, Siti Norhasanah Sanimu, 28, kemudahan di panggung itu kini jauh lebih baik dengan suasana yang moden dan selesa untuk menonton pelbagai bentuk persembahan termasuk teater tempatan.
“Memang puas hati, tempat duduk selesa, ada pendingin hawa, tandas yang bersih, sistem audio pun jelas dan yang paling penting ada surau.
“Harga tiket pula berpatutan serendah RM10 sahaja bersempena Program Melaka Bila Larut Malam, sesuai untuk keluarga yang mahu isi masa hujung minggu dengan aktiviti santai tapi bermakna,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas menonton persembahan teater muzikal fantasi Puteri Santubong Sejinjang di panggung tersebut malam tadi.

Sementara itu, pengunjung dari Alor Gajah, Muhammad Fitri Zaman, 40, pula menyifatkan suasana di sekitar panggung yang tenang bersebelahan Sungai Melaka menjadikannya destinasi ideal untuk menenangkan fikiran selepas sibuk bekerja.
“Saya rasa tempat ni memang sesuai jadi ‘port healing’ terbaik di bandar Melaka. Kalau diteruskan dengan pelbagai genre teater dan harga kekal mampu milik, pasti lebih ramai akan datang,” katanya.

Nada sama turut disuarakan pengunjung dari Bukit Katil, Suzana Sallehhudin, 40, yang kini sudah masuk kali kelima berkunjung ke Panggung Bangsawan.
“Panggung Bangsawan ini setiap kali saya datang pasti ada perubahan positif, penambahan mural di dinding, fasiliti dinaik taraf, diterapkan pula elemen moden membuatkan pengunjung seperti saya ini mahu berkunjung lagi ke sini, memang kena dengan namanya, terasa seperti ‘bangsawan’,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


