Sorting by

×

‘HEBAT’ DIADAKAN SETIAP 45 HARI, WRUR DITAMBAH BAIK

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 19 Januari – Atas sambutan luar biasa yang diterima, Program Hari Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO) Bersama Rakyat (HEBAT) akan dilaksanakan setiap 45 hari.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, langkah itu diambil bagi memantapkan lagi pentadbiran Kerajaan Negeri, selain manifestasi komitmen Kerajaan Negeri dalam menyantuni denyut nadi rakyat.

“Program sentuhan rakyat seperti HEBAT dan Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) akan terus diperhebat dengan penambahbaikan dari segi pengurusan, capaian dan impak kepada rakyat.

“HEBAT akan dilaksanakan setiap 45 hari, manakala keberkesanan WRUR akan diperkukuh dengan tempoh pelaksanaan pada tahun ini telah ditambah baik dengan dilaksanakan selama seminggu, berbanding dua minggu sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 YAB Ketua Menteri bertemakan Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Menyelesaikan Amanah, Memperkukuh Prestasi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Lantaran itu, Ketua Menteri menyeru kepada seluruh pentadbiran Kerajaan Negeri termasuk Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), jabatan-jabatan dan agensi serta seluruh penjawat awam untuk terus memecut ke hadapan sepanjang tahun ini.

“Ini penting bagi memastikan setiap dasar, inisiatif dan program dirancang benar-benar sampai kepada rakyat serta memberi manfaat yang jelas kepada Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

324
Kongsi :
Previous post PERUNTUKAN KEBAJIKAN MENINGKAT, TANDA MELAKA SAYANG RAKYAT
Next post SERONOK LAYAN KELETAH HAIWAN DI ZOO MELAKA