
‘HEBAT’ MESRA RAKYAT, BANTU PERMUDAH URUSAN
SERI NEGERI 7 Ogos – Rakyat Melaka menyifatkan penganjuran Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT) sebagai inisiatif terbaik yang bukan sahaja mesra rakyat, bahkan membantu mempermudah urusan berkaitan agensi kerajaan.
Malah, program julung kali yang diadakan bermula jam 9 pagi hingga empat petang itu juga membuka peluang kepada rakyat untuk menyampaikan suara mereka kepada pemimpin.
Marina Masri, 45, dari Krubong berkata, kehadirannya ke program HEBAT membolehkannya menyelesaikan urusan dengan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tanpa perlu beratur panjang.
“Macam-macam perkhidmatan kita boleh dapat menerusi HEBAT. Saya berurusan dengan MBMB, anak buah saya pula berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat kad pengenalan.
“Tidak perlu pergi kaunter atau pejabat berasingan, semua ada di satu tempat. Sangat memuaskan dan harap program seperti ini diadakan selalu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Afiq Abu Hassan, 32, dari Bukit Katil pula memaklumkan, menerusi program tersebut, ia memberi peluang kepadanya untuk bertemu secara empat mata dengan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh secara langsung bagi menyuarakan isu berkaitan permohonan tanah.
“Saya datang untuk berbincang isu tanah yang boleh dimanfaatkan petani dan beberapa hal lain berkaitan permohonan tanah.
“Saya tahu mengenai HEBAT ini menerusi ‘Facebook’ rasmi Ketua Menteri. Ia sangat bagus sebab rakyat boleh suarakan terus apa yang mereka perlukan,” katanya.

Tambahnya, program seumpamanya wajar diadakan lebih kerap kerana ia memberi impak besar kepada rakyat, terutamanya golongan yang sukar ke pejabat agensi kerajaan pada waktu biasa.
“Terima kasih kepada kepimpinan Kerajaan Negeri kerana mengadakan program begini, saya yakin jika ia diteruskan lebih banyak aduan dan masalah rakyat akan dapat diselesaikan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.