
HELMY MAHU TAJA 10 ANAK DUYONG IKUTI KELAS AL-QURAN
DUYONG 20 Januari – Seramai 10 orang kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong akan ditaja untuk mengikuti Kelas Hafazan Al-Quran Mingguan di Surau Al-Musowwir, Taman Seri Duyong 3.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, inisiatif itu memberi peluang kepada anak-anak kurang berkemampuan mendalami dan menghafaz al-Quran dalam suasana pembelajaran yang tersusun serta berterusan.
“Saya ingin menaja 10 anak-anak Duyong kurang berkemampuan untuk menyertai Kelas Hafazan Al-Quran Mingguan.
“Program ini diharap dapat membantu membina asas hafazan yang betul serta membentuk sahsiah dan disiplin anak-anak melalui pembelajaran al-Quran,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, ibu bapa atau penjaga yang berminat untuk memohon tajaan berkenaan boleh menghubungi menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ di talian 010-4319583.
“Bagaimanapun, terdapat beberapa kriteria dan syarat yang perlu dipenuhi bagi melayakkan anak-anak menyertai program tajaan ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan mengenai pendaftaran Kelas Hafazan Al-Quran hujung minggu anjuran Institut Tahfiz Az-Zahra yang dibuka kepada kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 13 tahun.
“Kelas ini akan diadakan pada setiap hari Sabtu di sekitar Melaka dengan yuran RM70 sebulan termasuk makan dan minum.
“Antara matlamat kelas ini adalah membina asas hafazan yang betul, melatih disiplin serta adab dengan al-Quran selain memastikan pembelajaran dilakukan secara berperingkat dan berterusan.
“Ibu bapa yang berminat mendapatkan maklumat lanjut atau membuat pendaftaran boleh menghubungi pihak penganjur melalui saluran yang disediakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
