Sorting by

×

HIASAN TAHUN BAHARU CINA BERI LIMPAHAN REZEKI

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

MACHAP JAYA 18 Januari – Hiasan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Permai Machap Umboo Baru, di sini, bukan sahaja menceriakan suasana di penempatan itu malah menggamit pengunjung termasuk pelancong tempatan dan luar negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem berkata, kedatangan pengunjung dan pelancong ke kampung itu secara tidak langsung memberi limpahan rezeki kepada peniaga setempat.

Katanya, saban tahun jumlah kedatangan pengunjung ke kampung itu merekodkan peningkatan termasuk pelancong luar.

“Bagi Tahun Baharu Cina 2026, persiapan untuk hiasan dibuat lebih awal oleh jawatankuasa yang terbabit dan mengambil masa sebulan setengah.

“Ini supaya kita dapat menarik lebih ramai pengunjung termasuk pelancong ke sini, sekali gus dapat membantu peniaga setempat khususnya menjana pendapatan tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pelancaran Hiasan Tahun Baharu Cina Kampung Permai Machap Umboo Baru, di sini, semalam.

Majlis pelancaran diserikan lagi dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari.

Hee Sem yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, selain Kampung Permai Machap Umboo Baru di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya terdapat dua lagi lokasi tumpuan hiasan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

“Seperti tahun lalu, selain Kampung Permai, hiasan tahun baharu di Machap Baru dan Selandar turut menjadi tumpuan ramai.

“Kampung-kampung ini saling bekerjasama dalam mempromosikan satu sama lain dengan ini apabila pengunjung datang ke Machap mereka tidak tertumpu hanya kepada satu tempat sahaja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

406
Kongsi :
Previous post UMNO MELAKA BAWA SUARA RAKYAT, ZAHIR KOMITMEN HADAPI PRU KE-16
Next post MPHTJ BINA TIGA TAPAK PENJAJA BAHARU TAHUN 2026