
HIMPUNAN #STAND4SUMUD BERGEMA DI MELAKA!
BANDA HILIR 5 Oktober – Lebih 5,000 peserta membanjiri Himpunan Sumud Flotilla yang diadakan di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini, petang tadi.
Laungan solidariti ke atas 23 sukarelawan negara yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Palestin serta pembebasan Palestin antara yang paling gamat dilontarkan selain mengecam kekejaman rejim zionis.
Penganjur himpunan tersebut, Afiq Noordin berkata, jumlah penyertaan amat memberangsangkan malah tidak menyangka himpunan tersebut menerima lebih 5,000 peserta dari dalam serta luar Melaka.
Ujarnya, himpunan tersebut merupakan simbol penghargaan rakyat Melaka serta Malaysia amnya terhadap keberanian dan semangat kemanusiaan yang ditunjukkan para aktivis tersebut dalam memperjuangkan nasib rakyat di Gaza.
“Jika sebelum ini kesemua peserta GSF gelombang pertama telah ditahan secara tidak sah oleh pihak zionis, termasuk 23 daripadanya peserta dari Malaysia di zon perairan antarabangsa di Laut Mediterranean ketika berlayar ke Gaza.
“Hampir seluruh masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia mengecam tindakan terkutuk rejim zionis itu kerana terus menerus bertindak melanggar hukum nilai kemanusiaan serta perundangan antarabangsa.
“Alhamdulillah, hasil usaha Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kesemua peserta GSF dari negara kita telah dibebaskan dan kesemua mereka akan kembali ke Tanah Air pada esok,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas penganjuran Himpunan Sumud Flotilla di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini, petang tadi.
Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin; Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid; Presiden Gerakan Belia 4B (GB4B) Malaysia, Datuk Ridhwan Mohd Ali, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Gajah; Mohd Amirul Basiron serta wakil-wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Afiq yang juga pengasas Akademi Kepimpinan Anak Bangsa, turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana terus mendukung serta menyokong penganjuran himpunan tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.