Sorting by

×

HIV: MELAKA PERLUAS KLINIK ‘MESRA STI’ DI SETIAP DAERAH

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 12 Disember – Melaka terus komited dalam usaha memperkukuhkan saringan HIV dengan memperluaskan Klinik Mesra STI (STI Friendly Clinic) di setiap daerah bagi memastikan rawatan lebih mudah diakses masyarakat.

Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Ruzita Mustaffa berkata, inisiatif itu melibatkan empat buah klinik kesihatan, termasuk Klinik Jalan Gereja yang sebelum ini menjadi satu-satunya pusat rawatan jangkitan seksual di negeri ini.

“Bagi tahun 2026, setiap daerah akan melantik satu klinik kesihatan sebagai Klinik Mesra STI. Satu di Jalan Gereja manakala tiga lagi di Klinik Kesihatan Ayer Keroh, Masjid Tanah serta Merlimau.

“Klinik-klinik ini membolehkan pesakit mendapatkan rawatan lebih dekat dengan kawasan rumah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Aids Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2025 sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil yang disempurnakan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem di Dewan Taming Sari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, semalam.

Dr. Ruzita berkata, selain menggalakkan lebih ramai masyarakat menjalani saringan, pendekatan Klinik Mesra STI turut bertujuan memastikan pesakit berasa selesa dan bebas stigma ketika mendapatkan rawatan.

“Kita tidak ingin ada stigma atau diskriminasi terhadap mereka yang mendapat jangkitan HIV. Ini supaya mereka berani ke hadapan dan berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pihaknya turut berhasrat menambah lebih banyak Klinik Mesra STI di seluruh Melaka, sejajar dengan matlamat negeri untuk mencapai ‘Melaka Getting to Zero HIV’.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

497
Kongsi :
Previous post MELAKA CATAT LONJAKAN PENDAPATAN LUAR BIASA
Next post BUNYI BISING BELAKANG RUMAH RUPANYA ULAR SAWA 100KG