Sorting by

×

HOSPITAL ANGKATAN TENTERA KEM TERENDAK DIJANGKA SIAP AWAL 2029

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 6 Ogos – Kerajaan Negeri Melaka akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi memantau pembinaan Hospital Angkatan Tentera (94 HAT) di Kem Terendak, yang dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2029.

Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembinaan hospital tentera baharu yang bernilai RM325 juta itu kini sedang berjalan di bawah kawal selia Kementerian Pertahanan.

Katanya, pembinaan hospital tentera itu dilihat bakal memberi impak besar kepada sektor kesihatan negeri.

“Saya telah berpeluang berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan dimaklumkan bahawa pihak kementerian akan memantau rapat perkembangan projek ini.

“Hospital ini akan memberikan perkhidmatan kepada anggota tentera, dan sebahagian daripada kemudahannya akan turut dibuka kepada orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sanjungan Budi dan Apresiasi Petugas Kesihatan Negeri Melaka Tahun 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Suriani Ahmad; Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Ruzita Mustaffa serta kenamaan lain.

Media sebelum ini melaporkan hospital baharu berkenaan akan dibina di atas tapak Hospital Kem Terendak sedia ada yang berusia lebih 60 tahun.

Hospital lama tersebut akan diruntuhkan bagi memberi laluan kepada pembangunan fasiliti kesihatan baharu yang lebih moden, dengan kapasiti 150 katil dan kemudahan merangkumi perkhidmatan pakar, pergigian serta kesihatan awam.

Selain itu, hospital berkenaan juga bakal dilengkapi kemudahan perubatan moden seperti Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) dan dihubungkan melalui sistem pengurusan hospital secara digital yang membolehkan maklumat pesakit dapat dikongsi secara bersama antara fasiliti kesihatan milik ATM dan awam secara maya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

591
Kongsi :
Previous post MELAKA RAI 2,000 WIRA KESIHATAN
Next post MELAKA MOHON KOMPLEKS KESIHATAN BERSEPADU DI MELAKA TENGAH