
HOSPITAL ANGKATAN TENTERA KEM TERENDAK SIAP 3 TAHUN LAGI
SUNGAI UDANG 26 Januari – Kerja-kerja fizikal termasuk penambakan tanah bagi pembinaan bangunan baharu Hospital Angkatan Tentera (HAT) Kem Terendak sudah bermula November 2024 dan dijangka siap tiga tahun lagi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, projek berkenaan telah diluluskan pada Rancangan Malaysia ke-12 pada tahun 2022 melibatkan kos keseluruhan bernilai RM320 juta.
Katanya, kerja-kerja fizikal termasuk merobohkan struktur bangunan lama serta meratakan tanah bagi pembinaan bangunan baharu telah dilaksanakan pada 14 November 2024.
“Jadi, kita telah melaksanakan pecah tanah bagi projek hospital baharu di Kem Terendak yang dijangka siap pada Januari 2029.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha kita memastikan anggota tentera dan keluarga mereka menerima perkhidmatan kesihatan yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kem Terendak, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman; Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad serta lain-lain kenamaan.
Mohamed Khaled berkata, bangunan hospital baharu yang berkeluasan kira-kira 7.2 hektar itu bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan kesihatan termasuk dewan pembedahan, dewan bersalin, unit kecemasan, klinik pakar serta klinik pesakit luar serta farmasi.
Jelas beliau, pembinaan hospital itu juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh aspek kesejahteraan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga mereka, khususnya dari sudut perkhidmatan kesihatan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


