
HOTEL DI MELAKA TERIMA LEBIH 8 JUTA PELANCONG SEPANJANG 2024
KLEBANG 9 Julai – Penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) terbukti membawa limpahan ekonomi apabila memberi tempias kepada penggiat industri pelancongan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara yang mendapat manfaat besar adalah sektor perhotelan yang menerima tempahan daripada lebih lapan juta pelancong dalam dan luar negara.
Menurut beliau, sebagai sebuah negeri pelancongan unggul, Melaka kini menempatkan sebanyak 504 buah hotel pelbagai kategori termasuk hotel bertaraf lima bintang, empat bintang, tiga bintang, manakala selebihnya terdiri daripada hotel dua bintang, bajet dan inap desa yang turut menyumbang kepada kepelbagaian pengalaman pelancong.
“Pencapaian ini jelas menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi Melaka melalui lonjakan aktiviti perniagaan, peningkatan pelaburan strategik serta penciptaan peluang pekerjaan yang lebih luas untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Birkin International Hotel yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman, di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan tahun 2024 juga telah mencatat detik gemilang buat industri pelancongan Melaka berjaya menerima lebih 15 juta pelancong dari dalam dan luar negara.
Berbekalkan pencapaian tersebut, beliau berkata, Melaka dipilih sebagai tuan rumah kepada beberapa acara penting dalam kalendar pelancongan iaitu Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang akan diadakan pada 27 hingga 29 September depan disusuli dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Seiring dengan penganjuran acara berskala besar ini, Kerajaan Negeri menyasarkan kehadiran 16.5 juta pelancong bagi tahun 2025 dengan jangkaan hasil pelancongan mencecah RM17.97 bilion.
“Insya-Allah, saya yakin sasaran ini mampu dicapai dengan sokongan dan dokongan semua pemain industri pelancongan, termasuk pengusaha hotel, agensi pelancongan serta pihak berkepentingan lain,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.