Sorting by

×

HOTEL TAMARA KONGSI REZEKI SEMPENA TAHUN BAHARU CINA

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Februari – Sambutan Tahun Baharu Cina di Hotel Tamara Melaka, tidak hanya diisi program berbentuk hiburan dan keraian semata-mata, sebaliknya turut membangkitkan keceriaan serta berkongsi kegembiraan dengan menyatuni golongan kurang bernasib baik.

Pengurus Besar Hotel Tamara Melaka Ong Yuh Jeh berkata, selain persembahan tarian singa sebagai acara wajib pihaknya turut menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menurutnya, Tahun Baharu Cina bukan perayaan yang hanya disambut kaum Tionghua, sebaliknya diraikan oleh semua masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Ini tahun kedua kami mengadakan persembahan tarian singa dan menganjurkan CSR dengan menyumbangkan kit makanan sama ada kepada rumah jagaan orang tua atau anak-anak yatim.

“Selain berkongsi rezeki bersama komuniti kami turut meraikan kakitangan hotel yang tanpa jemu mengerah keringat bagi memastikan operasi Hotel Tamara Melaka sentiasa berjalan lancar,” katanya ketika ditemui selepas pertunjukan tarian singa yang turut dihadiri pemilik Hotel Tamara Melaka Khoo Chang Chiang, di Taman Kenanga, semalam.

Menurutnya lagi, Hotel Tamara Melaka merupakan cawangan ketiga rangkaian hotel tersebut yang mula beroperasi pada November 2024 dengan menawarkan 108 bilik selain kemudahan lain seperti dewan mesyuarat serta dewan bankuet yang selesa.

“Kedudukan kami strategik kerana terletak berhampiran lokasi tumpuan pelancongan dan Melaka Sentral. Meskipun baru sahaja beroperasi perkhidmatan kami menerima maklum balas amat positif daripada pelanggan, tidak kira pelancong domestik atau antarabangsa.

“Antara pelanggan pernah menginap di hotel kami adalah pelancong dari China, selain itu ada memberi pujian dengan mengatakan sarapan kami sediakan adalah antara yang terbaik,” katanya.

Jelasnya, sempena Ramadan juga Hotel Tamara turut menyediakan Bufet Ramadan dengan lebih 100 jenis juadah berbuka yang pasti memikat selera pelanggan.

“Untuk tawaran istimewa atau ‘early bird promotion’ harga ditawarkan serendah RM65 dan selepas berakhirnya tempoh itu harga pakej adalah RM78. Dengan pelbagai jenis pilihan termasuk makanan tradisional dan tempatan terdapat juga kambing bakar serta hidangan Mediterranean untuk berbuka bersama keluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

337
Kongsi :
Previous post SAMBUTAN TAHUN BAHARU CINA HOTEL TAMARA PENUH MAKNA
Next post MPJ PANTAU BAZAR RAMADAN, PASTIKAN TIADA ISU KEBERSIHAN