
HUBUNGAN KERAJAAN PERPADUAN MELAKA BAIK, TIADA PRASANGKA
SUNGAI UDANG 29 Mei – Kerajaan Perpaduan di Melaka kekal stabil dan berhubungan baik tanpa ada sebarang prasangka, tegas Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Meskipun terdapat sedikit perbezaan pendapat membabitkan pemimpin negeri sejak akhir-akhir ini, namun beliau berkata, perkara itu adalah satu pandangan terpencil yang tidak perlu dipanjang atau diperbesarkan.
Malah, katanya, begitu juga berkaitan isu pembahagian kerusi yang seolah-olah sengaja diperbesarkan sedangkan semangat setiap wakil rakyat dalam komponen Kerajaan Perpaduan tidak pernah terjejas.
“Jadi, kenapalah pokok tak ada, angin tak ada, tiba-tiba lalangnya bergoyang? Kita tahu apa yang akan dilakukan, jadi tidak perlulah perkara ini dipanjangkan.
“Kita tidak boleh halang mana-mana (pihak) mahu suarakan pandangan, namun pada akhirnya kita mahu pandangan itu mengambil prinsip Kerajaan Perpaduan.
“Apa saya boleh katakan, sehingga kini hubungan kita masih baik dan tanpa prasangka, malah wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kekal bersama dalam setiap program anjuran Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Melaka bersempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Taman Desa Tun Razak, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad; Ketua Polis Melaka Dato’ Dzulkhairi Mukhtar; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta lain-lain kenamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.