Sorting by

×

HUFFAZ TAPI HEBAT MENYELAM, PULAU BESAR KINI ‘KILANG’ TAHFIZ TVET

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER MOLEK 18 Mac – Maahad Tahfiz Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertama negara yang memperkenalkan persijilan kursus penyelaman profesional di Pulau Besar kini telah mula beroperasi dengan kemasukan 15 pelajar pertamanya.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, terdapat tiga perkara akan didedahkan di maahad tahfiz TVET itu, di mana selain hafazan al-Quran, pelajar juga akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mengambil kursus penyelaman profesional.

Jelas beliau, pelajar di situ juga cukup bertuah kerana bakal dikendali seorang figura yang cukup istimewa iaitu Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin, Pengasas Sekolah Tahfiz Al Amin (TVET) yang juga merupakan seorang tenaga pengajar profesional dalam kursus selaman kepada anggota penyelamat.

“Jadi, di sini, kita mahu membuat kelainan dengan memperkenalkan bidang selaman dalam air untuk pelajar tahfiz ini memiliki lesen penyelaman profesional yang boleh digunakan bukan sahaja untuk tujuan riadah, tetapi juga dalam profesion seperti kimpalan dalam air.

“Apabila keluar sahaja daripada tahfiz TVET ini, kita amat berharap peluang yang diberikan kepada pelajar ini akan dimanfaatkan untuk mereka menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi ataupun menjadi pekerja-pekerja mahir dalam bidang yang menawarkan upah lumayan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Moreh Santai yang diadakan di sebuah restoran di Kampung Bukit Lintang, di sini.

6183522488764010224
RAHMAD

Rahmad berkata, selain 15 pelajar baharu, terdapat 13 lagi pelajar sedia ada akan meneruskan pembelajaran di maahad tahfiz Pulau Besar itu.

Menurutnya, pada tahun ini, pihaknya menyasarkan seramai 50 pelajar akan mendaftar dan mengikuti pengajian di institusi itu, di mana ia dibuka kepada anak muda berusia 13 hingga 17 tahun.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Steering Committee Pulau Besar turut berterima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kerana meluluskan peruntukan RM1 juta bagi pembaikan dan naik taraf pusat tahfiz berkenaan.

“Pada masa sama, kita juga akan memohon sebahagian peruntukan RM10 juta diterima Kerajaan Negeri untuk TVET dalam membantu menambah lagi kemudahan yang diperlukan antaranya pembinaan jeti berhampiran tahfiz dan pembelian bot berserta enjin untuk kegunaan pelajar sewaktu kecemasan,” tambah beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

323
Kongsi :
Previous post DUGAAN MENJELANG SYAWAL, 50 RUMAH DI BUKIT RAMBAI ROSAK DIBADAI RIBUT
Next post OPS HRA 2026: JPJ MELAKA AMBIL TINDAKAN TERHADAP 430 KENDERAAN, ENAM DISITA