Sorting by

×

HUJAN RENYAI, TAPI AIR NAIK SANGAT PANTAS

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

SUNGAI RAMBAI 1 Januari – Kejadian banjir kilat yang melanda Kampung Parit Perawas, di sini, sejak Isnin lalu memaksa penduduk terjejas dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu.

Salah seorang mangsa Esah Abdullah, 56, berkata, kejadian itu disedari kira-kira jam 8.30 pagi apabila air mula naik di sekitar rumah sebelum meningkat dengan cepat walaupun hujan hanya renyai-renyai.

“Mula-mula air naik di bahagian tepi rumah sahaja, tidak sangka pula hanya beberapa jam sudah mencecah paras lutut.

“Sebelah petang air semakin naik dan selepas Maghrib parasnya sudah sampai ke lutut. Waktu itu makcik ajak anak-anak pindah ke PPS dan hanya sedikit barang yang sempat diselamatkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, banjir pernah melanda rumahnya sebelum ini namun hanya melibatkan bahagian dapur dan tidak memerlukan pemindahan.

“Tahun ini agak teruk sofa semua tenggelam, makcik sebenarnya tidak mahu pindah lagi tetapi suami suruh pindah sebab risau keselamatan.

“Terima kasih juga kepada pemimpin Kerajaan Negeri yang datang melawat kami, tidak sangka pula mereka sudi datang ke PPS dan kami dapat meluahkan segala masalah yang berlaku,” katanya.

Img 20260101 102407 784
JUNAIDAH ketika ditemui Melaka Hari Ini di PPS SK Parit Penghulu. Foto Afiq Mustaffa

Sementara itu seorang lagi mangsa banjir Junaidah Hussain, 55, berkata, kejadian kali ini merupakan kali kedua melanda rumahnya dalam tempoh setahun.

“Tahun lepas bulan November pun banjir, tidak sangka pula tahun ini makcik terpaksa berpindah lagi sekali ke PPS.

“Kejadian banjir disedari sekitar jam 8 pagi, namun keadaan air yang naik dengan pantas menyebabkan kebanyakan barangan tidak sempat diselamatkan.

“Masa itu makcik, suami dan anak-anak hanya sempat ambil barang penting seperti surat beranak dan kad pengenalan,” katanya.

Terdahulu Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin mengadakan lawatan menyantuni mangsa banjir di PPS SK Parit Penghulu, semalam.

Turut hadir pada lawatan itu Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abdul Azis; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari dan Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

307
Kongsi :
Previous post BANJIR PULIH, PPS SK PARIT PENGHULU DITUTUP
Next post INSIDEN HELIKOPTER: SEORANG PEGAWAI TLDM DIRAWAT DI UNIT RAWATAN RAPI