Sorting by

×

IBADAH KORBAN PELUANG ORANG ASLI RASAI SUASANA AIDILADHA

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

ASAHAN 11 Jun – Meskipun tidak mengambil bahagian sebagai individu yang menunaikan korban, namun berpeluang melihat cara ibadah itu dilaksanakan sudah cukup menggembirakan wanita masyarakat Orang Asli, Jusnawati Amiruddin, 57.

Dia antara penduduk Kampung Orang Asli Bukit Seraya yang hadir bagi memeriahkan program ibadah korban dianjurkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersama-sama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Hidayah Centre Foundation (HCF).

Whatsapp image 2025 06 10 at 5.42.30 pm
JUSNAWATI.

Jusnawati berkata, penganjuran program itu juga memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidiladha di kampung berkenaan pada tahun ini.

“Selain mendapat pendedahan mengenai korban kami juga mendapat gambaran lebih jelas tentang erti sebuah pengorbanan. Seingat saya ini kali pertama program ibadah korban dilaksanakan di kampung kami, sebagai penduduk sudah tentu gembira kerana berpeluang merasai sambutan Aidiladha seperti penduduk di tempat lain.

“Walaupun sebelum ini pernah dijemput ke majlis ibadah korban tetapi apabila diadakan di kampung sendiri, perasaan itu lebih teruja dan bermakna,” katanya.

Nenek kepada enam cucu itu ditemui selepas Program Sinar Zulhijah Bersempena Ibadah Korban Aidiladha Bersama Masyarakat Orang Asli Negeri Melaka Tahun 2025M/1445H, di Kampung Orang Asli Bukit Seraya, di sini, semalam.

Menurutnya, penganjuran ibadah korban juga secara tidak langsung dapat berkongsi rezeki dan merapatkan hubungan silaturahim bersama masyarakat luar.

Whatsapp image 2025 06 10 at 5.39.42 pm
MAYA.

Sementara itu, seorang lagi masyarakat Orang Asli dari Kampung Bukit Sebang, Maya Hadi, 27, berkata, setiap kali tibanya Aidiladha dia teruja untuk melihat ibadah korban dilaksanakan.

“Kemeriahan ini tidak sama dengan sambutan majlis lain kerana ia mengajar kita sebuah pengorbanan dan bagaimana orang ramai bersepakat.

“Seperti hari ini, saya sanggup bangun awal pagi bersiap-siap dengan suami dan anak untuk datang ke Bukit Seraya untuk memeriahkan majlis ibadah korban ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

582
Kongsi :
Previous post UNIMEL BAKAL PERKENAL SEMBILAN KURSUS BAHARU
Next post ANUGERAH MELAKA MEMBACA 2025 IKTIRAF BUDAYA ILMU RAKYAT MELAKA