
IBU BAPA NADI UTAMA BENTUK GENERASI BERILMU
AYER KEROH 21 September – Ibu bapa merupakan nadi utama dalam melahirkan generasi pewaris bangsa yang bukan sahaja berilmu dan berakhlak mulia, tetapi memiliki kemahiran tinggi bagi mendepani cabaran masa depan negara.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, tanggungjawab ibu bapa amat signifikan dalam memastikan anak-anak mendapat bimbingan dan pendidikan yang sempurna.
“Pengorbanan ibu bapa bukan sekadar untuk kesejahteraan anak-anak, malah menjadi asas kukuh kepada kelestarian dan kemakmuran negara.
“Ilmu adalah pusaka yang tidak lapuk ditelan zaman, manakala kemahiran menjadi senjata yang mampu mengangkat martabat generasi di persada dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Tunas Inspirasi (MATIN) Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah.
Hadir sama, Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Insan MAIM, Zuraini Bibi Yusoff mewakili Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad.
Menurut Rahmad, dalam era digital dan Revolusi Industri 4.0, ibu bapa perlu berperanan sebagai pembimbing yang arif untuk memastikan anak-anak menguasai kemahiran abad ke-21.
“Usaha ini seiring dengan agenda Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dan dasar Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara yang memberi penekanan kepada pencapaian akademik, kemahiran teknikal dan kebolehsaingan global.
“Dunia hari ini menuntut anak-anak menguasai pelbagai kemahiran baharu selari dengan perkembangan teknologi, ekonomi dan sosial.
“Di sinilah peranan ibu bapa penting sebagai pengemudi bahtera, memimpin anak-anak mengharungi gelombang perubahan dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan,” katanya.
Beliau berkata, peranan ibu bapa turut memperkukuh agenda Malaysia MADANI yang menjadikan ilmu serta kemahiran sebagai teras dalam melahirkan masyarakat berdaya tahan, berintegriti dan berpandangan jauh.
“Setiap titisan peluh dan pengorbanan ibu bapa demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan sewajarnya adalah lambang kasih sayang yang tiada tandingan.
“Anak-anak yang dibesarkan dalam suasana menghargai ilmu akan tumbuh sebagai insan berwawasan, sekali gus mengangkat martabat keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.