Sorting by

×

IBU TUNGGAL TIDAK BERGAJI, SYUKUR KEPRIHATINAN MPAG

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

LENDU 23 Mei – Ibu tunggal berkerusi roda dan tidak mempunyai pendapatan bulanan, kerana terpaksa bercuti susulan terbabit kemalangan antara yang dipilih sebagai penerima bantuan pada Program Masyarakat Di Hati Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) 2025 bersempena penganjuran Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu.

Noorazarina Mansor, 47, berkata bantuan dalam bentuk wang tunai dan kit makanan daripada MPAG, amat melegakan dirinya yang sejak beberapa bulan lalu terpaksa bergantung kepada simpanan untuk meneruskan kelangsungan hidup termasuk menampung keperluan empat anak.

Dia yang kini tidak bergaji, jelas tersentuh dengan keprihatinan MPAG berikutan belum menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak selepas terbabit kemalangan bersama anak keduanya pada September tahun lalu.

“Alhamdulillah ini adalah bantuan pertama yang saya terima selepas terbabit kemalangan, sekarang ini saya terpaksa bercuti tanpa gaji, terima kasih kepada MPAG dan semua pihak yang prihatin.

“Akibat kemalangan tulang kaki kiri dari paras lutut ke bawah pecah, doktor menganggarkan kecederaan itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk pulih, jadi sumbangan diterima besar maknanya bagi saya yang tidak dapat bekerja buat masa sekarang.

“Saya juga tidak boleh membuat tuntutan Pertubuhan Keselamatan Pekerja dan Sosial (PERKESO) kerana kejadian berlaku luar waktu bekerja. Ketika itu saya bersama anak kedua dalam perjalanan ke kedai bagi membeli kasut kerana dia akan menjalani latihan industri, tetapi secara tiba-tiba motosikal kami dilanggar kereta yang keluar dari simpang,” katanya.

Dia yang menetap di Taman Lendu Bakti berkata demikian ketika ditemui pada Program Masyarakat Di Hati MPAG 2025 di Jalan Sekolah Kebangsaan Datuk Tambi Chik Karim, Masjid Tanah, pada Rabu.

Terdahulu dia menerima sumbangan itu yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azli Sabtu; Yang Dipertua MPAG, TPr. Saifuddin Abdul Karim; Setiausaha MPAG, Radzyma Mahat, Ketua Ahli Majlis MPAG, Ghafar Ngah; Ahli-Ahli Majlis serta ketua-ketua jabatan MPAG.

Menurut Noorazarina, anak sulungnya ketika ini sedang menuntut di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), sementara itu anak ketiga terbabit kemalangan bersamanya yang juga pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) sedang bercuti selama setahun, manakala anak bongsu pula berusia belajar di tingkatan satu.

“Sekarang ini saya bergantung kepada anak kedua, dia yang banyak bantu pergerakan harian saya. Pada 16 Jun ini saya akan menjalani pemeriksaan susulan dan berkemungkinan perlu menjalani pembedahan susulan.

“Secara peribadi saya berpuas hati dengan penganjuran WRUR, menerusi program seperti ini baru saya tahu cara untuk memohon bantuan daripada agensi atau jabatan berkaitan. Paling utama adalah pemimpin yang datang berjumpa rakyat bukan rakyat cari mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

565
Kongsi :
Previous post WRUR SUNGAI UDANG MEDAN PERKASA TVET
Next post ‘PATUHI UNDANG-UNDANG, JAGA AKHLAK DI JALAN RAYA’