
IKAN KELI AIR PERIGI RASA LEBIH ENAK
TANJUNG BIDARA 29 Januari – Kurang berbau dan dikatakan menghasilkan isi lebih enak, itu antara kelebihan ikan keli diusahakan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Londang yang diternak menggunakan air perigi.
Pengerusi JPKK Kampung Londang Datuk Mutallif Che Mat berkata, projek dilaksanakan menerusi inisiatif Sejati MADANI itu melibatkan ternakan 10,000 ekor ikan keli yang dimulakan pada September tahun lalu.
Katanya, menggunakan dana diterima pihaknya membeli 20 tangki untuk menempatkan anak benih dan menyediakan sistem yang berkaitan.
“Ikan keli kami hanya diberi makan palet bagi mengelakkan daripada berbau, lebih bersih dan terjamin. Selain itu kami memanfaatkan perigi sebagai sumber air utama dalam projek penternakan ini.
“Setakat ini pasaran melibatkan kedai sekitar Masjid Tanah, tetapi jika ada yang berminat boleh datang dan pilih sendiri ikan keli mengikut selera masing-masing,” katanya ketika ditemui di lokasi projek ternakan ikan keli di Kampung Londang, di sini.
Katanya, setakat ini pihaknya sudah menjual 2,500 ekor ikan keli yang ditawarkan pada harga bermula RM7.50 hingga RM10,000 bagi satu kilogram.
“Jika ikan keli hidup harganya lain tetapi apabila siap disiang harganya lain. Selain itu kami juga menyediakan produk ikan keli sejuk beku, pelaksanaan projek perintis ini diakui banyak cabaran, tetapi insya-Allah kami akan teruskan.
“Pada masa akan datang kami bercadang untuk mengembangkan lagi projek ini dengan meningkatkan kapasiti ternakan ikan keli,” katanya.
Sementara itu Noridah Husin, 65, berkata, sebagai seorang yang cerewet dalam aspek pemakanan dia memilih ikan keli yang diusahakan JPKK Kampung Londang atas faktor kebersihan, kurang berbau dan memiliki rasa lebih enak yang kena dengan seleranya sekeluarga.
Sebagai pelanggan dia juga berpuas hati dengan keadah penternakan diamalkan selain dapat memilih sendiri ikan keli segar dari kolam.
“Kebersihan terjamin kerana ikan keli hanya diberi makan palet. Pada kebiasaan ikan keli yang dibeli dimasak lemak mengikut resipi orang Negeri Sembilan, lebih enak kalau campur rebung, jika rajin saya akan salai dulu isi ikan.
“Isi ikan segar melangkapkan gabungan rasa masam, masin, manis lauk dimasak. Selain masak lemak saya juga sediakan lauk sambal untuk dijamah kami tiga beranak,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


