
IMUNISASI BAYI, KANAK-KANAK DI MELAKA CAPAI LEBIH 98 PERATUS TAHUN LALU
LENDU 27 Mei – Kadar liputan imunisasi bayi dan kanak-kanak di Negeri Melaka tahun lalu melebihi 98 peratus dan dikategorikan sebagai sangat tinggi, kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem.
Katanya, pencapaian itu melibatkan vaksinasi asas seperti BCG, Hepatitis B, DTP-Hib, polio dan MMR yang amat penting dalam mencegah penularan penyakit berjangkit.
Menurutnya, satu lagi pencapaian membanggakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka adalah kejayaan mengekalkan tiada kes polio dan tetanus neonatal, selama lebih 10 tahun berturut-turut.
“Ini adalah bukti bahawa program imunisasi dijalankan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan memberi impak yang besar kepada kesejahteraan rakyat.
“Namun kita tidak boleh berhenti setakat itu, usaha mesti digiatkan untuk terus mengekalkan kadar liputan tinggi, terutamanya dalam kalangan golongan tercicir seperti Masyarakat Orang Asli, migran, penduduk pedalaman dan warga emas terlantar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Negeri Melaka 2025 dan Pelancaran Kampung Sahabat Farmasi KSKU Peringkat Daerah Alor Gajah juga bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu di Dewan Komuniti, Taman Bandar Baru Masjid Tanah, di sini, pada Ahad.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Ruzita Mustaffa, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr. Noor Aizam Mohd Said dan Pegawai Kesihatan Daerah Alor Gajah, Dr. Shazlin Umar.
Hee Sem yang juga Adun Machap Jaya berkata, dalam usaha memperluaskan akses dan keadilan kesihatan, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia bermula tahun ini melaksanakan polisi baharu iaitu penyediaan vaksin influenza secara percuma kepada warga emas berusia lebih 60 tahun.
Jelasnya, program itu ditumpukan khusus kepada warga emas menghidap penyakit kronik seperti diabetes, masalah jantung dan paru-paru.
“Kerajaan Negeri Melaka, melalui Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah, akan memperluas perkhidmatan ‘outreach’ ini ke luar bandar dan rumah-rumah jagaan orang tua.
“Ini adalah langkah amat wajar dan bijaksana, seperti kita tahu bahawa warga emas adalah golongan paling berisiko mendapat komplikasi teruk akibat jangkitan influenza, termasuk risiko kemasukan ke hospital dan kematian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.