
INDIVIDU DIDAKWA HINA PMX BUKAN KAKITANGAN MCORP
AYER KEROH 4 September – Perbadanan Melaka (MCORP) menafikan dakwaan kononnya individu mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di laman Facebook sebagai kakitangannya.
MCORP menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini, menjelaskan menerima laporan bertarikh 3 September lalu mendakwa individu berkenaan sebagai seorang kakitangan bertugas di Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) atau yang kini dikenali sebagai MCORP.
“Hasil semakan mendapati individu berkenaan pernah menjalani latihan industri di PKNM iaitu dari 19 Disember 2011 hingga 18 Mei 2012. Selepas tempoh berkenaan invidu terbabit tidak pernah berkhidmat atau dilantik sebagai kakitangan MCORP.
“Kami turut melakukan semakan terhadap profil Facebook individu terbabit yang mana tertera satus sebagai Jurutera Elektrik di PKNM. Ini tidak benar, menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai dan lebih serius menjejaskan nama baik MCORP,” kata kenyataan itu.
Susulan kejadian itu, MCORP membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanhjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi tindakan lanjut kedua-dua agensi terbabit.
“Pihak kami memandang serius dan bertindak tegas dalam hal ini demi menjaga integriti, profesionalisme dan nama baik agensi. Ketegasan ini adalah untuk kepentingan masyarakat, negeri dan negara.
“Sebagai makluman PKNM telah dijenamakan semula sebagai MCORP sejak 23 Januari 2023, sehubungan itu sebarang penggunaan nama lama bagi tujuan mengaitkan diri dengan jawatan rasmi adalah satu bentuk pemalsuan maklumat,” kata kenyataan itu lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.