
INDIVIDU TULAR VIDEO FITNAH POLIS HALANG AMBULANS AKAN DIPANGGIL
AYER KEROH 13 Disember – Individu yang menularkan video mendakwa anggota polis trafik menghalang ambulans untuk memberi laluan kepada konvoi delegasi pelabur dari China, kelmarin, akan dipanggil polis.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, tindakan itu diambil selepas siasatan mendapati ketika kejadian ambulans berkenaan bukan berada dalam situasi kecemasan dan tidak membunyikan siren seperti didakwa, sebaliknya siren itu merupakan siren polis.
Justeru, beliau berkata, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kita terima dan memang mengalu-alukan maklumat daripada orang awam jika berkaitan salah laku polis tapi kalau membabitkan perkara-perkara yang menjatuhkan fitnah kepada polis, ini memang kita tolak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Legasi 04 RXZ X 125 ZR Melaka Attack 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Dataran MITC di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, beliau meminta orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang video yang berunsur fitnah, terutamanya dengan sengaja mengaib atau menjatuhkan kredibiliti anggota polis.
“Jika berlaku, kita tidak akan beri muka dan akan pastikan orang yang sengaja membuat fitnah terhadap polis, akan diambil tindakan,” tambah beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


