Sorting by

×

INISIATIF ‘JOB COACH’ BUKTIKAN OKU MAMPU BERDIKARI

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

BUKIT BARU 18 Disember – Seramai 18 orang kurang upaya (OKU) dewasa berjaya mendapat pekerjaan menerusi Program Perkhidmatan ‘Job Coach’ dilaksanakan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bukit Baru.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, ia sekali gus membuktikan keupayaan golongan itu untuk berdikari serta bersaing dalam pasaran kerja terbuka.

Menurutnya, kejayaan itu hasil kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan pihak majikan serta pelaksanaan latihan berstruktur melalui khidmat jurulatih pekerjaan atau ‘job coach’.

“Program ini memberi pendedahan awal, latihan kemahiran dan bimbingan berterusan kepada OKU dewasa sebelum mereka diserap masuk ke sektor pekerjaan yang bersesuaian.

“Di PPDK Bukit Baru, kita dimaklumkan terdapat segmen job coach yang melatih OKU dewasa secara khusus. Ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik dan memberi impak besar kepada kebolehkerjaan mereka.

“Pihak JKM turut menyediakan kursus khas untuk job coach dan kita akan bekerjasama dengan pengusaha serta majikan yang benar-benar bersedia menerima OKU untuk berkhidmat di sektor masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Sambutan Hari Lahir Pelatih OKU Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bukit Baru sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Bukit Baru di Kampungku Sayang, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil Adly Zahari.

Kalsom berkata, setakat ini beberapa OKU dewasa telah berjaya mendapat pekerjaan di pasar raya, restoran makanan segera dan sektor perkhidmatan termasuk Pasaraya Mydin.

“Pengambilan OKU untuk bekerja perlu dibuat secara teliti dan mengikut kesesuaian serta kemampuan individu. Namun kejayaan itu membuktikan golongan OKU mampu berdiri atas kaki sendiri jika diberi peluang dan sokongan yang betul.

“JKM menyediakan bantuan kebajikan sebanyak RM350 sebulan kepada OKU, manakala mereka yang bekerja menerima bantuan RM450 sebulan.

“Insentif ini bertujuan menggalakkan OKU untuk berdikari dan terus aktif dalam masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Kalsom memaklumkan di Melaka kini mempunyai 18 buah PPDK yang berfungsi sebagai pusat latihan, pembangunan kemahiran dan sokongan kepada golongan OKU.

“Ibu bapa jangan malu untuk memberi pendedahan kepada anak-anak OKU mereka, hantar sahaja ke PPDK bagi membolehkan potensi dan bakat mereka digilap melalui program disediakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

643
Kongsi :
Previous post PLUS JANGKA 2.2 JUTA KENDERAAN SEHARI SEMPENA CUTI AKHIR TAHUN
Next post PTPTN MELAKA SERAH ZAKAT PERNIAGAAN RM100,000