Sorting by

×

INISIATIF LPM BANTU RAKYAT KURANG BERKEMAMPUAN BAIK PULIH RUMAH

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

SUNGAI UDANG 30 Mei – “Sebelum ini setiap kali hujan, pasti kelam kabut cari bekas atau baldi untuk tadah air. Alhamdulillah sekarang rumah sudah selesa, masalah selesai,” kata penerima bantuan baik pulih rumah menerusi inisiatif dilaksanakan Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Romli Ishak, 63.

Romli antara dua penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, menerima bantuan baik pulih kediaman uzur, menerusi Program Melaka Rumahku (Baik Pulih) yang menggunakan peruntukan LPM,

Pengusaha gerai makanan ini berkata, masalah bumbung bocor dan bahagian hadapan kediamannya yang uzur sudah lama berlaku, namun usaha untuk membaikinya kerap terbantut berikutan kekangan kewangan.

Katanya, dia dan isteri Roslizah Md Aris, 58, terus membuat permohonan apabila pegawai Japerun memaklumkan pihak LPM mempunyai peruntukan membaik pulih kediaman golongan kurang berkemampuan.

“Saya hantar permohonan pada April, mungkin sudah rezeki kerana tidak lama kemudian kami dimaklumkan ia sudah diluluskan. Semuanya berjalan lancar dan cepat, dalam masa singkat sudah mendapat jawapan.

“Ketika menghantar borang saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana tahu ramai lagi yang membuat permohonan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Rumah Baik Pulih DUN Sungai Udang bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Sungai Udang.

Simbolik penyerahan rumah siap dibaik pulih itu disempurnakan Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin.

Terdahulu TPr. Murad mengiringi Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, menyantuni Rahmah Sahat, 71, iaitu seorang lagi penerima bantuan menerusi inisiatif sama di Kampung Bertam Ulu.

Menurut Romli, sekiranya tidak menerima bantuan, dia sendiri tidak pasti bila rumah pusaka berusia 60 tahun milik ibu mentuanya itu dapat dibaiki.

“Bukan tidak cuba untuk baiki tetapi memerlukan kos belasan ribu dan saya pula tiada pendapatan tetap atau pencen. Apabila rumah sudah siap dibaik pulih sebak rasanya kerana nampak seakan kediaman baharu malah lebih selesa.

“Terima kasih tidak terhingga buat LPM dan Kerajaan Negeri yang begitu prihatin dengan kebajikan rakyat dan sentiasa cakna,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

823
Kongsi :
Previous post LEBIH SETENGAH KILOGRAM DADAH DITEMUI DI LOKASI KEMALANGAN MAUT
Next post UTEM JADI PILIHAN IPT INDIA JALIN KERJASAMA AI, KESELAMATAN SIBER