Sorting by

×

INISIATIF MESRA OKU ANGKAT MPJ SEBAGAI PBT PRIHATIN

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 20 Januari – Komitmen Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dalam memperkasa kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) melayakkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu menerima Anugerah PBT Prihatin daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, pengiktirafan itu diberikan sempena sambutan Hari Orang Kurang Upaya Sedunia di Putrajaya pada Disember 2025, sekali gus mengiktiraf usaha berterusan MPJ dalam menyediakan persekitaran bandar yang inklusif.

Menurutnya, antara inisiatif utama MPJ adalah memastikan setiap pembangunan baharu mengutamakan kemudahan dan akses mesra OKU, selain melaksanakan pelbagai program melibatkan komuniti OKU di daerah Jasin.

“Anugerah PBT Prihatin ini adalah hasil inisiatif MPJ menjalankan aktiviti melibatkan OKU serta menetapkan keperluan kemudahan dan akses OKU dalam setiap pembangunan yang dilaksanakan.

“MPJ turut menerima pengiktirafan audit daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi kemudahan mesra OKU, antaranya di Dataran Orang Kampung, Merlimau dan Dataran Vista Alamanda, Jasin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 YAB Ketua Menteri bertemakan Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Menyelesaikan Amanah, Memperkukuh Prestasi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Katanya, MPJ sentiasa memastikan setiap projek pembangunan oleh pemaju dan syarikat swasta turut menyediakan kemudahan OKU termasuk di kawasan awam dan lot-lot kedai.

“Di peringkat MPJ pula, kami sentiasa menambah baik kemudahan sedia ada dari semasa ke semasa dengan mengutamakan aspek aksesibiliti.

“Usaha berterusan itu adalah sebahagian daripada komitmen MPJ dalam mewujudkan persekitaran bandar yang mesra semua golongan tanpa mengira keupayaan fizikal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

384
Kongsi :
Previous post SARA DAN BUDI 95: PERMOHONAN TUKAR MYKAD DI MELAKA NAIK 140 PERATUS
Next post KARNIVAL TENTERA BERSAMA RAKYAT, BAWAKAN PELBAGAI ACARA MENARIK