
INTERNET BERKUALITI TINGKATKAN PRODUKTIVITI PENDUDUK LENDU
LENDU 26 Mei – Pembinaan menara telekomunikasi di Kampung Baru Lendu, memberi manfaat kepada lebih 5,000 pengguna dan pada masa yang sama meningkatkan lagi produktiviti komuniti setempat termasuk penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, menara telekomunikasi siap dibina September tahun lalu itu menawarkan perkhidmatan jaringan perhubungan jalur lebar lebih berkualiti kepada penduduk.
“Berbanding sebelum ini liputan sekitar ini tidak berapa bagus ada pelbagai masalah contoh, kerap berlaku terputus panggilan atau ‘drop call’ namun sekarang sudah dapat diatasi, saya boleh kata bertambah baik.
“Radius liputan menara ini adalah sekitar dua kilometer yang antaranya melibatkan sekitar Kampung Baru Lendu, Pekan Lendu Hilir, Kampung Air Hitam, Lendu dan sehingga Taman Dimensi Lendu berhampiran UiTM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Menara Telekomunikasi Kampung Baru Lendu Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, hari ini.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan dan Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holding Sdn Bhd (MICTH), Dr. Nazdiana Ab Wahab.
Menurutnya, perkhidmatan telekomunikasi dan jalur lebar yang baik hasil daripada pembinaan menara baharu itu bukan sahaja dapat membantu pelajar tetapi juga komuniti setempat.
“Selain itu saya turut difahamkan terdapat 25 stesen pemancar sudah dinaik taraf 4G dan 1,650 premis telah disambung dengan capaian gentian optik berkelajuan tinggi.
“Manakala Telekom Malaysia (TM) pula telah menyediakan lebih 5,000 port unifi di kawasan DUN Lendu yang mana peratus penggunaan port telah mencapai 50 peratus,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.