
INVEST MELAKA LANCAR LAMAN SESAWANG BAHARU LEBIH INTERAKTIF
BANDA HILIR 7 Disember – Invest Melaka Berhad melancarkan laman sesawang baharu menyediakan maklumat lebih lengkap dan terkini berkaitan pembangunan kawasan perindustrian di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ginie Lim Siew Lin berkata, platform digital tersebut dibangunkan bagi memudahkan capaian pelabur terhadap informasi penting melibatkan kawasan perindustrian baharu dan sedia ada.
Menurutnya, laman berkenaan turut menyediakan direktori sektor perkhidmatan yang boleh membantu pelabur mendapatkan perkhidmatan terbaik sama ada dalam bidang perkhidmatan atau pembuatan.
“Antara kemudahan disediakan ialah fungsi carian maklumat kawasan perindustrian dan senarai sektor berasaskan kluster bagi memudahkan pelabur menilai potensi serta kesesuaian pembangunan,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Chief Minister’s Industrial Excellence Award (CMIEA) 2025 Award Night & Gala Dinner yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata direktori sektor perkhidmatan seperti kewangan, perunding dan penyedia perkhidmatan profesional lain turut disediakan bagi menyokong keperluan pelabur ke Melaka.
“Direktori ini membantu pelabur mendapatkan perkhidmatan profesional yang diperlukan agar mereka dapat mengembangkan perniagaan dengan lebih selamat dan lancar.
“Terima kasih juga kepada semua yang menyumbang serta memberi sokongan termasuk Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Melaka (MCORP),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

