
IPT RAKAN STRATEGIK JAYAKAN AGENDA PEMBANGUNAN KOMUNITI
TANJUNG BIDARA 3 Januari – Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bukan sekadar menjadi gedung ilmu, sebaliknya dianggap sebagai rakan strategik dalam menjayakan agenda pembangunan komuniti dan masyarakat setempat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha dilaksanakan menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memastikan pembangunan inklusif dan seimbang bagi merapatkan jurang antara desa dan bandar.
Katanya, menerusi inisiatif itu Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1 juta, manakala Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pula menyalurkan RM300,000 bagi pelaksanaan projek pembangunan komuniti di Kampung Pulau.
Menurut Ketua Menteri peruntukan ini bukan sekadar bukti keprihatinan kerajaan, malah menggambarkan peranan besar dimainkan kerajaan dan IPT dalam menjayakan agenda pembangunan rakyat bukan hanya dalam sektor pendidikan, tetapi juga dalam menyantuni serta memperkasa komuniti setempat.
“Sewaktu lawatan tapak pertama pada tahun 2024, ketika itu penduduk Kampung Pulau menggunakan
balai raya lama sebagai pusat kegiatan masyarakat. Ruang yang sempit dan kemudahan yang terbatas nyata menjadi cabaran utama kepada pelaksanaan aktiviti penduduk.
“Maka, tercetusnya idea pembinaan Dewan Terbuka Kampung Pulau ini sebagai ruang serbaguna untuk
meningkatkan akses kemudahan dan memperkasakan kesejahteraan sosial komuniti setempat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dewan Terbuka Kampung Pulau Di Bawah Program Kampung Angkat MADANI Kementerian Pendidikan Tinggi di Dewan Terbuka Kampung Pulau, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Naib Canselor (Akademi dan Antarabangsa) UTEM, Prof Dr. Mohd Rizal Salleh; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, Datuk TPr. Saifudin Abdul Karim, Ketua-ketua Jabatan Negeri serta Persekutuan.
Yang turut hadir adalah mantan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.
Terdahulu Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara turut menyempurnakan pelepasan peserta Fun Walk Riverside 2.0 Tahun 2025, bersarapan bersama rakyat, menyempurnakan gimik Pertandingan Sepakan Penalti Futsal Pemuda dan Pertandingan Bola Jaring Puteri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


