
ISU JALAN RAYA, SALIRAN FOKUS UTAMA WRUR DUN LENDU
LENDU 31 Mei – Pembaikan jalan raya dan sistem saliran menjadi antara fokus utama sepanjang pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu yang berlangsung selama dua minggu.
Menerusi aduan diterima daripada penduduk setempat, keperluan untuk menambah baik infrastruktur asas melibatkan laluan utama dan sistem perparitan dikenal pasti sebagai antara isu paling mendesak.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelaksanaan WRUR di DUN itu telah membuka ruang kepada rakyat untuk menyuarakan permasalahan mereka, terutamanya berkaitan infrastruktur asas.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) menyalurkan sebanyak RM600,000 bagi kerja-kerja ‘reconstruction’ (localised), ‘regulate’ dan ‘overlay’ di Jalan Masjid Tanah – Lendu – Alor Gajah dan dijangka bermula pada Jun 2025.
“Selain itu, kerja-kerja membaiki dan menaik taraf sistem perparitan serta pembentung juga dilaksanakan melibatkan kos sebanyak RM200,000.
“Pada masa sama, kerja naik taraf Jalan Perhubungan Desa di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang melibatkan Kampung Durian Daun dan Kampung Lendu masih dalam pelaksanaan
dengan kos keseluruhan RM125,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian penutup WRUR DUN Lendu di Kompleks Japerun Lendu di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka ke-12 merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan dan lain-lain barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.