
ISU KESIHATAN MENTAL GENERASI MUDA CETUS KEBIMBANGAN – DR. WAN AZIZAH
BANDARAYA MELAKA 9 November – Peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Malaysia ketika ini pada tahap membimbangkan.
Menzahirkan kerisauan, Isteri Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, data National Health & Morbidity Survey (NHMS) 2023 menunjukkan satu daripada enam kanak-kanak mengalami masalah mental, manakala 4.6 peratus penduduk dewasa berdepan kemurungan.
Katanya, golongan muda hari ini adalah pewaris negara, justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam membina sistem sokongan yang berpaksikan kasih sayang dan empati bagi membantu anak-anak menghadapi cabaran era digital dan tekanan kehidupan moden.
“Kita perlu segera tingkatkan kekuatan diri dan ketahanan emosi mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Centennial Hi-Tea Sempena Sambutan 100 Tahun Pandu Puteri Melaka di sebuah hotel, di sini, semalam.
Majlis bersejarah itu turut diserikan dengan kehadiran isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka yang juga Penaung PPPM Cawangan Melaka Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.
Hadir sama, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz; Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datuk Yeoh Soo Keng; Yang Dipertua PPPM Melaka, Datin Wira Ts. Nurazlina Md Sanusi serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Dr. Wan Azizah berkata, sejajar dengan sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan pada November, langkah proaktif perlu dilaksanakan oleh golongan ibu bapa, guru dan penjaga sebagai usaha memperkukuh kesejahteraan sosial keluarga di negara ini.
“Ambil berat hal ehwal anak-anak, termasuk dalam talian dan sediakan sistem sokongan kukuh berpaksikan kasih sayang dan empati.
“Persiapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan berteraskan teknologi, tetapi jangan lupa pemantauan yang berterusan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


