
JAIM TIDAK KOMPROMI PEMATUHAN STANDARD HALAL
AYER KEROH 3 April – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menegaskan tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana syarikat yang gagal mematuhi piawaian pensijilan halal yang telah ditetapkan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, syarikat yang terlibat dalam penarikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) perlu melaksanakan penambahbaikan menyeluruh sebelum dibenarkan membuat permohonan semula.
Katanya, bagi kedua-dua syarikat di negeri ini yang telah ditarik SPHM itu telah diminta untuk menarik semula barangan di pasaran dan dilarang menggunakan sijil halal pada produk mereka.
“Kita tidak memberikan sebarang tempoh kelonggaran dan permohonan baharu SPHM hanya akan dipertimbangkan selepas semua keperluan dipatuhi sepenuhnya termasuk aspek syariah dan teknikal.
“Pematuhan standard halal bukan sahaja melibatkan bahan mentah, malah merangkumi peralatan, proses pengeluaran serta pengendalian bagi mengelakkan sebarang pencemaran najis termasuk najis mughallazah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Majlis Bacaan Yasin dan Doa Kesyukuran Peringkat Negeri Melaka Sempena 3 Tahun Kepimpinan YAB Ketua Menteri Melaka di Masjid Al-Alami, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, pemantauan terhadap premis bersijil halal dilakukan oleh JAIM secara berterusan termasuk susulan aduan bagi memastikan integriti sistem pensijilan halal sentiasa terpelihara.
“Pengguna disaran supaya sentiasa menyemak status halal produk melalui Portal Halal Malaysia bagi memastikan ia masih sah dan diiktiraf pihak berkuasa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


