Sorting by

×

JALAN BAHARU BEMBAN-SERKAM SIMBOL KEMAJUAN INKLUSIF

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BEMBAN 3 Julai – Jalan baharu menghubungkan Bemban ke Serkam bukan sekadar tar dan batu, sebaliknya ia menjadi simbol kemajuan inklusif yang membuktikan komitmen Kerajaan Negeri terhadap keperluan rakyat di kawasan luar bandar.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jalan dua lorong sepanjang tiga kilometer itu bukan sahaja memendekkan masa perjalanan, malah ia juga memberi impak positif kepada rakyat dari segi aksesibiliti, pergerakan ekonomi dan kesejahteraan hidup.

Jelas beliau, projek tersebut telah dimohon sejak tahun 2021 dan ia mula dibina pada 2022 sebelum siap dan diserahkan lebih awal daripada jadual asal iaitu pada 25 April tahun ini.

“Jalan ini dapat memendekkan masa perjalanan dari Ayer Molek ke Tol Jasin sebanyak lima minit, sekali gus menjadi satu lagi laluan strategik untuk mereka yang datang dari selatan masuk ke Bandar Melaka dengan lebih cepat tanpa perlu melalui Ayer Keroh.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang telah meluluskan peruntukan untuk jalan ini di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) yang berjaya menyiapkan jalan baharu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jalan Baharu Serkam-Bemban Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Timbalannya Datuk Zahari Abd Kalil; Penyelaras DUN Bemban Mohd Raziff Yakop; Pengarah JKR Negeri Melaka Ir. Mohamad Salzeli Moktar serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, jalan baharu itu menjadi antara manifestasi komitmen yang mahu ditunjukkan Kerajaan Negeri dalam mengilhamkan WRUR yang akan berlangsung di kesemua 28 DUN dalam Negeri Melaka.

Jelas beliau, WRUR bukan sekadar mengeratkan hubungan di antara masyarakat, bahkan menjadi jambatan penghubung di antara pentadbiran Kerajaan Negeri bersama rakyat di setiap kawasan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

523
Kongsi :
Previous post SURAU WARISAN DITUTUP SEMENTARA KERANA DIBAIK PULIH
Next post MELAKA DIJANGKA TERIMA DUA LAGI PROJEK JALAN BAHARU