
JALAN BATANG TIGA-TANGGA BATU, MASJID TANAH-SUNGAI UDANG BAKAL DINAIK TARAF
AYER KEROH 19 Februari – Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sedang menjalankan kajian menaik taraf dua laluan utama melibatkan jajaran Batang Tiga ke Tangga Batu serta Masjid Tanah ke Sungai Udang.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, kedua-dua projek naik taraf itu penting bagi menambah baik keselamatan pengguna jalan raya, selain membantu mengurangkan kesesakan trafik waktu puncak.
Beliau memaklumkan JKR Negeri Melaka kini sedang meneliti aspek reka bentuk, selain keperluan pengalihan utiliti sedia ada di sepanjang kedua-dua laluan tersebut.
“Bagi jajaran Batang Tiga ke Tangga Batu, projek naik taraf itu membabitkan 7 kilometer (km) dan telah tersenarai di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Rolling Plan 2.
“Manakala bagi jajaran Masjid Tanah ke Sungai Udang pula, JKR telah melaksanakan kajian dan sedang menunggu kelulusan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Hameed berkata, sekiranya kedua-dua projek itu mendapat kelulusan pada tahun ini, projek naik taraf itu dijangka akan dimulakan pada tahun 2027.
“Selepas menerima kelulusan, projek naik taraf ini dijangka dapat dilaksanakan sama ada pada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


